Kerja baiki mendapan selesai, Jalan Masjid India dibuka semula

KUALA LUMPUR - Kerja pembaikan permukaan jalan yang terjejas akibat insiden mendapan berhampiran kawasan Masjid India di sini selesai pada jam 6 petang tadi.
Sehubungan dengan itu, Jalan Masjid India yang ditutup pagi tadi sebagai langkah keselamatan telah dibuka semula kepada laluan awam.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), siasatan mendapati mendapan berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan.
"DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu, malam ini.
DBKL menegaskan keselamatan orang awam menjadi keutamaan, dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan.
Terdahulu, DBKL memaklumkan terdapat kejadian mendapan berlaku di Jalan Bonus, berhadapan premis Bombay Jewellery pada 8.39 pagi tadi.
Susulan itu, pasukan DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal dan menilai tahap risiko struktur di kawasan berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerja pembaikan permukaan jalan di Masjid India Kuala Lumpur akibat mendapan selesai jam 6 petang
- Jalan Masjid India yang ditutup pagi tadi sudah dibuka semula kepada laluan awam
- Siasatan DBKL mendapati mendapan berlaku secara setempat akibat gangguan kestabilan struktur turapan
- DBKL akan meneruskan pemantauan rapi termasuk pemeriksaan dan pengimbasan di lokasi dan kawasan sekitar
- Keselamatan orang awam menjadi keutamaan DBKL dan penghargaan ditujukan kepada semua pihak atas kerjasama dalam pematuhan arahan keselamatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
