Taman Botani DiRaja Johor dibuka semula, tiket hanya RM2

JOHOR BAHRU – Taman Botani Diraja Johor yang dibangunkan sejak tahun 1864 bakal dibuka semula kepada umum bermula 31 Ogos ini selepas melalui proses naik taraf sebagai salah satu mercu pelancongan negeri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembukaan semula taman berkenaan adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Taman tersebut akan dibuka setiap hari Rabu hingga Ahad dari jam 8 pagi hingga 6 petang, manakala ditutup pada setiap hari Isnin dan Selasa bagi kerja-kerja penyelenggaraan.
"Bayaran masuk ditetapkan sebanyak RM2 bagi warganegara Malaysia dan RM30 untuk bukan warganegara, manakala percuma untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah serta pemegang kad OKU," katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, taman berkeluasan lebih 126 ekar itu kini tampil dengan wajah baharu yang lebih tersusun dan indah, menampilkan 12 taman khas yang menempatkan lebih 583 spesies flora dan hampir 145,000 batang pokok.
Naik taraf taman ini merupakan hasil kerjasama antara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).
“Semoga usaha ini akan menghidupkan semula memori serta nilai sentimental lokasi-lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada identiti Bandaraya Johor Bahru,” katanya.
Onn Hafiz mempelawa pengunjung untuk membawa keluarga dan rakan-rakan bagi menerokai taman tersebut apabila dibuka nanti.
“Semoga kehadiran anda semua akan memeriahkan lagi pembukaan sekali gus menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

