32 perangkap harimau diagih ke pedalaman Kelantan

Hilmi. - FOTO Facebook Hilmi Abdullah
Hilmi. - FOTO Facebook Hilmi Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengagihkan 32 perangkap baharu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan berisiko tinggi, Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, sebanyak RM340,000 diperuntukkan pada tahun ini untuk pembelian perangkap tersebut termasuk menangkap kera dan beruang.

“Setiap PBT akan menerima empat unit perangkap khas untuk menangkap beruang, Harimau Malaya dan harimau kumbang.

“Kos perangkap bagi harimau Malaya bernilai RM17,000 dan perangkap bagi harimau Kumbang pula bernilai RM9,100 seunit,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan negeri Kelantan pada Sidang DUN di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Beliau berkata, perangkap itu ditempatkan di bawah kawalan PBT dan akan digunakan untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar serta Taman Negara menangkap haiwan liar berdasarkan laporan aduan masyarakat.

Selain aset fizikal itu, katanya, penubuhan pasukan pengawas komuniti sedia ada turut membabitkan kalangan penduduk tempatan dan masyarakat Orang Asli bagi membantu memantau kawasan berisiko ancaman haiwan liar.

"Mereka yang dilantik sebagai renjer komuniti diberi latihan khas, elaun bulanan dan dilindungi insurans.

“‘Mereka bukan sahaja akan membantu melaporkan kehadiran haiwan liar, tetapi memberi tunjuk ajar kepada masyarakat cara elak konflik dengan hidupan liar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, keluarga renjer komuniti yang meninggal dunia akibat serangan haiwan liar dua tahun lalu menerima pampasan kematian sebagai tanda penghargaan atas peranan mereka menjaga keselamatan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri juga menyediakan mekanisme pampasan kepada penduduk yang mengalami kerugian hasil pertanian atau harta benda akibat serangan haiwan liar melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Dalam perkembangan lain berkaitan usaha menangani masalah anjing liar, beliau menegaskan pelaksanaan Perintah Pemvaksinan Penyakit Anjing Gila 2025 yang mewajibkan semua anjing berusia tiga bulan dan ke atas divaksin.

Katanya, melalui pewartaan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu, setiap anjing yang disuntik perlu memakai lencana bernombor sebagai bukti vaksinasi, manakala anjing yang tidak divaksin atau tidak dilabel boleh dilupuskan.

“Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 1,126 ekor anjing divaksin di seluruh negeri.

“Selainnya, 27 aduan gigitan anjing diterima oleh jabatan terbabit termasuk 17 melibatkan anjing bertuan manakala selebihnya anjing liar dan satu gigitan kucing,” katanya.

Tambah beliau, langkah vaksinasi penting bagi mengekang risiko penularan wabak rabies di negeri ini yang terletak bersempadan dengan negara jiran.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Kelantan mengagihkan 32 perangkap haiwan liar kepada PBT di Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai
  • RM340,000 diperuntukkan untuk pembelian perangkap untuk menangkap kera, beruang dan harimau
  • Setiap PBT menerima empat unit perangkap khusus untuk menangkap beruang, Harimau Malaya dan harimau kumbang
  • Perangkap ditempatkan di bawah kawalan PBT untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar menangkap haiwan liar berdasarkan laporan masyarakat
  • Keluarga renjer komuniti yang meninggal dunia akibat serangan haiwan liar menerima pampasan kematian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!