Pasangan kekasih ditahan selepas lari pemeriksaan polis

Video tular aksi kenderaan polis mengejar kereta Perodua Bezza dinaiki suspek.
Video tular aksi kenderaan polis mengejar kereta Perodua Bezza dinaiki suspek.
A
A
A

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Sepasang kekasih ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam selepas bertindak memecut kenderaan dan melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di BPS 4, Senawang, di sini, awal pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 pagi ketika anggota polis sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut dan ternampak sebuah Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

“Ketika anggota menghampiri kenderaan berkenaan, pemandu telah mengundurkan kereta dan melanggar MPV polis sebelum memecut melarikan diri.

“Polis kemudian mengejar kenderaan suspek dari Jalan Senawang menuju ke susur keluar ke Seremban berhampiran jejambat Lebuhraya LEKAS, Senawang, sebelum kereta terbabit terbabas dan melanggar tembok,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pemandu lelaki berusia 23 tahun dan penumpang wanita berusia 22 tahun berada di dalam kenderaan terbabit.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod, manakala ujian saringan air kencing juga negatif.

“Kedua-dua mereka telah ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sekurang-kurangnya empat unit peronda dilihat mengejar kenderaan dinaiki pasangan berkenaan di kawasan Sri Mawar, di sini.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sepasang kekasih ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam di Senawang
  • Kejadian berlaku awal pagi Ahad ketika polis menyedari sebuah Perodua Bezza mencurigakan
  • Pemandu memecut dan melarikan diri bila polis menghampiri, kemudian melanggar MPV polis
  • Kenderaan suspek terbabas setelah dikejar polis hingga melanggar tembok
  • Pemandu lelaki berumur 23 tahun dan penumpang wanita 22 tahun, kedua-duanya tiada rekod jenayah sebelum ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!