Takut ditangkap khalwat punca pasangan kekasih langgar kereta polis

KUALA PILAH - Takut ditangkap khalwat menjadi punca sepasang kekasih bertindak melarikan diri sehingga melanggar kenderaan polis dalam kejadian di Senawang, Isnin lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua individu terbabit yang berusia lingkungan 20-an telah pun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.
"Lelaki itu yang bekerja sebagai juruteknik manakala wanita berkenaan operator kilang telah didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.
"Dalam soal siasat dilakukan sebelum ini, kedua-duanya takut ditangkap khalwat kerana duduk berdua-duaan di kawasan sunyi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Peluncuran dan Penyerahan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Ampang Tinggi di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.

Sebelum ini media melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 pagi ketika anggota polis sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut dan ternampak sebuah Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Ketika anggota menghampiri kenderaan berkenaan, pemandu tidak memberi kerjasama dan mengundurkan kereta lalu melanggar MPV polis sebelum memecut melarikan diri.
Polis kemudian mengejar kenderaan suspek dari Jalan Senawang menuju ke susur keluar ke Seremban berhampiran jejambat Lebuhraya Lekas, Senawang, sebelum kereta terbabit terbabas dan melanggar tembok.
Kedua-dua mereka telah ditahan di lokasi namun tiada barang larangan ditemui.
Sementara itu berkenaan program, Alzafny berkata, inisiatif strategik terbabit bertujuan membentuk kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan dengan penyertaan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
"Ia bagi memastikan kualiti pendidikan di sekolah terutama di kawasan luar bandar dan yang terbelakang dari segi infrastruktur tidak tercicir," katanya.
Jelas beliau, SK Ampang Tinggi menjadi sekolah pertama menjadi Sekolah Angkat Madani PDRM Negeri Sembilan bagi tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
"Dengan bajet itu, kami sudah menyalurkan sebanyak RM80,000 kepada Pusat Tanggungjawab (PTJ) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melaksanakan projek berkaitan pembangunan sekolah," katanya.
Ringkasan AI
- Takut ditangkap khalwat, sepasang kekasih melarikan diri dan melanggar kenderaan polis di Senawang
- Kedua-dua individu berusia 20-an, seorang juruteknik dan seorang operator kilang, didenda RM3,000
- Mereka melanggar kenderaan polis semasa cuba melarikan diri kerana takut ditangkap khalwat
- Kejadian bermula apabila polis mendapati kenderaan mereka mencurigakan dan tidak memberi kerjasama
- Tidak ada barang larangan ditemui pada mereka setelah kereta mereka terbabas dan polis menahannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

