Rakyat Malaysia khususnya Kelantan perlu beri kerjasama patuhi PKP

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Kelantan khususnya diminta agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan tempohnya sehingga 14 April ini.

Perkara itu ditegaskan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan selepas merujuk kepada laporan media bertajuk 'rakyat Kelantan degil, polis akan ketatkan sekatan' pada hari ini.

Takiyuddin berkata, kerjasama dengan pihak yang menguatkuasakan undang-undang khususnya Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), amatlah penting.

Ini kerana, katanya, ia bagi memastikan langkah yang diambil oleh kerajaan demi menjaga nyawa rakyat, berkesan serta tidak sia-sia.

"Saya suka mengingatkan bahawa pihak diberi kuasa mengikut undang-undang tersebut boleh menggunakan apa jua cara hatta kekerasan bagi memastikan PKP dipatuhi selain boleh menahan, mendakwa sehingga dihukum penjara atau dikenakan denda oleh mahkamah sebagaimana yang telah dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, berdasarkan tinjauan sebuah portal pada hari kelapan PKP menyaksikan jumlah pergerakan kenderaan di sekitar jalan raya utama di negeri Kelantan kembali meningkat.

Tinjauan portal berkenaan mendapati, banyak kenderaan khususnya orang awam masih berdegil dan tidak akur dengan perintah tersebut dengan pelbagai alasan.

Antara alasan paling kerap diberikan adalah untuk keluar ke pasar raya atau kedai-kedai untuk membeli barang keperluan, mengambil duit di bank dan membayar bil utiliti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan yang dipetik berkata, pihaknya mengakui belum berpuas hati dengan tahap kepatuhan orang awam khususnya di kawasan bandar Kota Bharu.

Katanya, melihat kepada jumlah kenderaan yang masih banyak sehingga hari ini menunjukkan seolah-olah sekatan yang dilakukan pihak polis tidak memberi kesan kepada masyarakat.

Justeru, berkuat kuasa hari ini, pihaknya mengambil pendekatan lebih tegas terutama di Kota Bharu iaitu hanya membenarkan mereka yang mempunyai urusan betul-betul penting sahaja termasuk yang bekerja dibenarkan masuk ke bandar.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berharap kesabaran semua pihak dalam menghadapi tempoh getir dan mencabar ini mampu menyelamatkan nyawa semua rakyat Malaysia daripada terus diserang virus koronavirus (Covid-19) yang amat berbahaya serta membawa maut ini.