Peletakan jawatan Ewon: Perang 40 peratus hak Sabah

PELETAKAN jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada malam Sabtu dijangka memberi kesan kepada kestabilan kepimpinan Kerajaan Persekutuan khususnya menjelang tempoh pilihan raya yang semakin hampir.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) membuat keputusan tersebut atas dasar prinsip dan pendirian berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Ujar beliau, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
Dari sudut politik, langkah Ewon memberi isyarat jelas tentang ketegasan wakil rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri itu.

Tindakan beliau dilihat bukan sekadar keputusan peribadi, tetapi juga refleksi terhadap kekecewaan berpanjangan rakyat Sabah terhadap isu pembahagian hasil yang belum menemui penyelesaian konkrit sejak sekian lama.
Bagaimanapun, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, peletakan jawatan seorang menteri daripada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), yang juga komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh memberi kesan terhadap keseimbangan politik dalam blok penyokong kerajaan.
Usaha media mendapatkan reaksi susulanDatuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengumuman peletakan jawatan itu masih belum berhasil menerusi dua program yang dihadiri Perdana Menteri pada pagi Ahad di Tamu Jalan Gaya dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Secara keseluruhannya, perkembangan ini menjadi ujian terhadap keupayaan kepimpinan pusat dalam menguruskan isu federalisme dan memastikan keseimbangan kuasa antara negeri serta Persekutuan.
Sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati, ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat melibatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung, terutama dalam kalangan pengundi yang menilai integriti serta ketelusan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaan.
Secara kesimpulan, peletakan jawatan Ewon bukan sekadar isu individu atau politik kepartian, sebaliknya mencerminkan cabaran lebih besar yang dihadapi kerajaan dalam memelihara semangat asal pembentukan Persekutuan.
Dalam suasana politik yang semakin dinamik dan menjelang musim pilihan raya, bagaimana kerajaan menguruskan reaksi terhadap langkah ini akan menentukan sama ada keyakinan rakyat dapat dikekalkan atau sebaliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

