Bot karam: Dua lagi PATI dijumpai terapung

LANGKAWI - Dua lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dijumpai terapung berdekatan Tuas Kuala Muda, Teriang di sini kira-kira jam 3.11 petang Ahad, susulan insiden bot disyaki karam di sempadan perairan Malaysia - Thailand.
Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui hanyut setakat ini seramai 13 orang terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh.
Daripada jumlah itu, seorang wanita etnik Rohingya ditemukan dalam keadaan sudah meninggal dunia.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seramai 11 mangsa hanyut apabila bot dinaiki mereka dipercayai karam di perairan Malaysia - Thailand berhampiran Pulau Tarutao.
Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan terapung sebelum diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan tempatan.
Terdahulu, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang masih berada di laut.
Jelasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia.
Beliau berkata, semua yang terlibat akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
Ringkasan AI
- Dua lagi PATI warga Myanmar dijumpai terapung berdekatan Tuas Kuala Muda, Teriang di Langkawi
- Jumlah mangsa yang ditemui setakat ini seramai 13 orang dari Myanmar dan Bangladesh
- Seorang wanita etnik Rohingya ditemukan sudah meninggal dunia
- Mangsa hanyut selepas bot yang mereka naiki dipercayai karam di sempadan perairan Malaysia - Thailand
- Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyeludupan manusia dan akan mengambil tindakan undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

