Bot karam: 11 PATI ditemui, seorang wanita Rohingya maut

Seramai 11 PATI termasuk mayat seorang wanita Rohingya ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa di sekitar perairan Langkawi setakat ini. Foto Maritim Malaysia
Seramai 11 PATI termasuk mayat seorang wanita Rohingya ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa di sekitar perairan Langkawi setakat ini. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Operasi mencari dan menyelamat susulan insiden bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam menemui 11 orang termasuk mayat seorang wanita Rohingya di sekitar perairan Langkawi setakat ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang masih berada di laut.

"Berdasarkan maklumat risikan awal, bot yang dinaiki mangsa berlepas dari Buthidaung, Myanmar dipercayai karam tiga hari lalu di kawasan sempadan perairan Malaysia-Thailand.

“Bagaimanapun, setiap cubaan untuk memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran akan dikesan dan diambil tindakan tegas. Isu ini bukan sekadar kemanusiaan, tetapi turut melibatkan keselamatan negara,” tegasnya.

Menurut Romli, sindiket rentas sempadan kini semakin aktif mengeksploitasi migran dengan menjadikan mereka mangsa perdagangan manusia menggunakan laluan laut berisiko tinggi.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia. Semua yang terlibat akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Romli berkata, Maritim Malaysia bersama pasukan keselamatan lain sedang melaksanakan Operasi Guard 5.0 yang merupakan operasi bersepadu dijalankan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam usaha menjaga sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Ia juga bertujuan mengekang kemasukan PATI khususnya dari Myanmar yang kebiasaannya dijangka memasuki perairan negara pada hujung tahun seperti sebelum ini.

Romli turut meminta orang ramai khususnya komuniti maritim seperti nelayan dan pengusaha bot pelancongan agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di 04-966 2750 / 04-966 5307.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Operasi mencari dan menyelamat menemui 11 orang termasuk satu mayat susulan insiden bot PATI karam di sekitar perairan Langkawi
  • Bot yang karam berlepas dari Buthidaung, Myanmar dipercayai tiga hari lalu di kawasan sempadan perairan Malaysia-Thailand
  • Romli Mustafa menegaskan, setiap cubaan memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran akan dikesan dan tindakan tegas diambil
  • Sindiket rentas sempadan aktif mengeksploitasi migran sebagai mangsa perdagangan manusia melalui laluan laut berisiko
  • Maritim Malaysia melaksanakan Operasi Guard 5.0 bersama agensi keselamatan lain untuk mengekang kemasukan PATI dari Myanmar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!