Tiada bukti Kelantan jual lombong emas RM12 juta setakat ini

Dr Mohamed Fadzli
Dr Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Kelantan mengesahkan tiada sebarang bukti kukuh berhubung kesalahan penjualan lombong emas seperti tular di media sosial termasuk dakwaan melibatkan 252 hektar kawasan bernilai RM12 juta di Tanah Merah setakat ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, semakan awal mendapati laporan itu hanyalah berbentuk tanggapan atau cakap-cakap umum tanpa sumber yang sahih.

“Banyak laporan-laporan melalui media sosial, namun setelah kami kaji didapati laporan itu hanyalah berbentuk tanggapan atau cakap-cakap atau seumpamanya.

“Sehingga kini kami belum menerima laporan sahih berhubung pelanggaran ataupun jualan secara haram,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional-Galas) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri bagaimanapun tidak memandang ringan perkara tersebut, sebaliknya terus meneliti maklumat dan menunggu laporan rasmi daripada agensi berkaitan sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kerajaan negeri tegas dalam memastikan segala aktiviti perlombongan dan penjualan emas diurus secara telus, patuh undang-undang dan berpaksikan syariah.

“Semua urusan jual beli emas mentah dikawal melalui Enakmen Urusan Emas Mentah 1991, manakala aktiviti perlombongan tertakluk kepada Enakmen Mineral 2001,” katanya.

Selain itu, penguatkuasaan juga dijalankan oleh agensi teknikal seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan setiap pengusaha mematuhi syarat lesen, selain prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Menjawab soalan tambahan kononnya hanya satu syarikat diberi keutamaan, beliau menjelaskan, sebanyak 20 lesen perlombongan emas dikeluarkan kerajaan negeri, namun hanya empat syarikat aktif disebabkan faktor kemampuan dan kepakaran teknikal.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengalu-alukan syarikat-syarikat tempatan untuk terlibat, tetapi mestilah berkemampuan, berpengalaman dan berintegriti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kelantan merupakan negeri pengeluar emas yang mengenakan kadar royalti tertinggi di negara ini iaitu 10 peratus berbanding negeri lain yang hanya mengenakan antara lima hingga 7.5 peratus.

“Antara lima negeri pengeluar emas, Kelantan paling tinggi kadar royaltinya. Ini bukti kerajaan negeri menjaga hak rakyat dan memastikan hasil bumi dinikmati bersama,” tegasnya.

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Kelantan mengesahkan tiada bukti kukuh berkenaan kesalahan penjualan lombong emas di Tanah Merah
  • Semakan mendapati dakwaan di media sosial adalah berbentuk tanggapan tanpa sumber yang sahih
  • Kerajaan negeri tidak memandang ringan isu ini dan terus meneliti maklumat sambil menunggu laporan rasmi
  • Aktiviti perlombongan dan penjualan emas dikawal mengikut Enakmen Urusan Emas Mentah 1991 dan Enakmen Mineral 2001
  • Kelantan adalah negeri pengeluar emas dengan kadar royalti tertinggi iaitu 10 peratus di Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!