Kelantan miliki jongkong emas RM51 juta

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memiliki jongkong emas bernilai antara RM50 juta hingga RM51 juta yang disimpan sebagai aset negeri dan diiktiraf dalam penyata kewangan kerajaan negeri setiap tahun.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, semua jongkong emas itu merupakan milik penuh kerajaan negeri Kelantan dan disimpan dengan kawalan rasmi bagi tujuan rekod serta ketelusan fiskal.
Beliau menjelaskan, emas berkenaan tidak dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan kerana negeri mengamalkan sistem belanjawan berasaskan tunai, yang hanya merekodkan urus niaga berbentuk tunai pada tahun kewangan berkenaan.
Manakala terimaan hasil yang berbentuk fizikal seperti jongkong emas ini dilaporkan di dalam penyata kewangan kerajaan negeri setiap akhir tahun.
“Jongkong emas ini akan diiktiraf sebagai hasil apabila dijual dan diakaunkan di dalam Akaun Hasil Disatukan pada tahun kewangan tersebut selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa sesi penggulungan Belanjawan Negeri di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional - Galas) berkaitan status simpanan jongkong emas negeri itu.
Dr Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti langkah untuk menjadikan jongkong emas tersebut sebagai sandaran bagi pinjaman kewangan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
“Perbendaharaan negeri bercadang untuk menjadikan jongkong emas ini sandaran bagi pinjaman kewangan di antara negeri dengan Persekutuan kerana ketika ini polisi pinjaman Persekutuan menetapkan sandaran kepada semua pinjaman bernilai sama ada tanah atau emas dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu menunjukkan kecekapan kerajaan negeri dalam menguruskan aset negeri secara mampan sambil memastikan hasil perlombongan emas negeri dimanfaatkan semaksimum mungkin.
Dalam masa sama, Dr Mohamed Fadzli menafikan laporan yang menggambarkan seolah-olah beliau memperlekeh negeri lain dalam pengurusan hasil emas.
Katanya, kenyataan beliau sebelum ini hanya menjelaskan perbezaan struktur hasil antara negeri-negeri, dengan Kelantan memperuntukkan peratusan lebih tinggi kepada pelombong dan rakyat tempatan.
“Kalau dibandingkan dengan negeri lain, hasil perlombongan emas di Kelantan memberi 10 peratus kepada kerajaan negeri dan empat peratus bayaran sumbangan kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan sedangkan negeri lain hanya antara lima hingga tujuh peratus sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata, struktur tersebut membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak mengetepikan kebajikan rakyat dan pelombong kecil malah memastikan hasil bumi negeri diagih secara adil tanpa mengabaikan kepentingan fiskal kerajaan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Kelantan memiliki jongkong emas bernilai RM50 juta hingga RM51 juta sebagai aset
- Jongkong emas ini disimpan dengan kawalan rasmi dan diiktiraf dalam penyata kewangan negeri setiap tahun
- Emas tersebut tidak dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan kerana Kelantan mengamalkan sistem belanjawan berasaskan tunai
- Kerajaan negeri meneliti langkah menjadikan jongkong emas sebagai sandaran bagi pinjaman kewangan dengan kerajaan Persekutuan
- Kerajaan negeri Kelantan memberi 10 peratus hasil perlombongan emas kepada kerajaan negeri dan empat peratus kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

