PTJSD siap lebih cepat

Anwar (tiga dari kiri) melihat replika projek penyuraian trafik pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua pada Sabtu. Foto: Bernama
Anwar (tiga dari kiri) melihat replika projek penyuraian trafik pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua pada Sabtu. Foto: Bernama
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dengan Plaza Tol Sungai Dua, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan kawasan sekitar (PTJSD) yang bernilai RM3 bilion akan disegerakan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik yang sekian lama membelenggu pengguna lebuh raya di utara Semenanjung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain memberi keselesaan kepada rakyat, pelaksanaan projek itu akan menarik minat dan memberi keyakinan terhadap pelabur apabila isu tersebut dapat diselesaikan.

Menurutnya, proses penelitian dan perancangan rapi melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta syarikat pengendali termasuk PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sudah dilakukan dan beliau telah mengarahkan kementerian serta agensi berkaitan untuk memantau dengan lebih dekat bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan.

“Saya ingat dah belasan tahun tiap kali saya ke Perak, ke Pulau Pinang ke Kedah semuanya mengeluh tentang kesesakan penyuraian di Juru, Sungai Dua, Persimpangan Permatang Pauh dan Jambatan Pulau Pinang.

“Alhamdulillah, hari ini kita bersyukur kerana satu projek yang ditunggu rakyat dapat dilaksanakan selepas tertangguh sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah PTJSD di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Masalah kesesakan trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tok Sungai Dua telah berlarutan sejak sekian lamanya akibat pertambahan jumlah kenderaan yang ketara. Foto Bernama
Masalah kesesakan trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tok Sungai Dua telah berlarutan sejak sekian lamanya akibat pertambahan jumlah kenderaan yang ketara. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menyelaraskan urusan teknikal serta kelulusan tempatan agar projek tidak tertangguh.

“Saya tidak mahu unjuran biasa. Kalau boleh dipercepatkan sebulan pun, itu bermakna penjimatan ekonomi dan memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai kos pelaksanaan, Anwar berkata, kerajaan menanggung 60 peratus manakala syarikat pengendali menampung baki 40 peratus, sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Walaupun kosnya tinggi, saya ucap terima kasih kerana sebahagian besar ditanggung bersama oleh sektor swasta.

“Jadi ini dapat mengurangkan beban dan kita bersyukur projek penyuraian ini tak jadi isu politik sangat sebab ia bagi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Masalah kesesakan trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tok Sungai Dua telah berlarutan sejak sekian lamanya akibat pertambahan jumlah kenderaan yang ketara.

Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya, malah turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi setempat termasuk di kawasan Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai.

Berikutan itu, Kerajaan Madani melalui Kementerian Kerja Raya mengambil langkah berani dan strategik untuk melaksanakan Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua ini.

Projek sepanjang 17.3 kilometer, merentasi tiga daerah utama iaitu Seberang Perai Selatan, Tengah dan Utara akan memberi manfaat kepada 200,000 pengguna harian jajaran berkenaan

Projek tersebut dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM3 bilion dijangka mengurangkan kesesakan trafik dengan 30 peratus akan beralih ke laluan terus baharu Juru-Sungai Dua yang disediakan sekali gus akan menjimatkan masa perjalanan semasa daripada satu jam kepada hanya 20 minit pada waktu puncak.

Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2030.

Ringkasan AI

  • Pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dengan Plaza Tol Sungai Dua bernilai RM3 bilion untuk mengurangkan kesesakan
  • Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian dan agensi untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini
  • Pentingnya kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelaraskan urusan teknikal dan kelulusan
  • Kerajaan menanggung 60 peratus kos manakala sektor swasta menanggung 40 peratus
  • Projek dijangka mengurangkan kesesakan trafik sebanyak 30 peratus dan memendekkan masa perjalanan dari satu jam ke 20 minit pada waktu puncak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!