Dua pelajar ditahan buat aksi ‘wheelie’ di kawasan perumahan

KUANTAN – Dua pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan selepas melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikal di kawasan Perumahan Makmur Seri Damai Jaya di sini, pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kedua-dua remaja itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bermula jam 4.30 petang hingga 9 malam.
“Suspek melakukan aksi tersebut yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Kedua-duanya ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu sepanjang operasi itu, polis mengeluarkan sebanyak 20 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
“Tidak memakai topi keledar ialah antara kesalahan yang paling banyak direkodkan sepanjang operasi ini,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi seperti ini akan diteruskan lagi pada masa mendatang.
"Kita harap peranan ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab membantu serta memantau aktiviti anak-anak bermula dari rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

