'Tak sangka dia 'pergi' secepat ini'

JOHOR BAHRU - Mendiang K Sugunaran, 59, juruukur kapal yang maut dalam insiden kebakaran di atas kapal kargo Kyparissia di Dermaga 4, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada Jumaat, disifatkan sebagai seorang sahabat berhati murni oleh rakan-rakannya.
Seorang rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Sam berkata, dia tidak menyangka begitu cepat sahabatnya itu 'pergi' memandangkan mereka sempat bertemu beberapa bulan lalu.
Menurut seorang rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, dia memang tidak menyangka sahabat baiknya itu meninggal dunia kerana baru bertemu dengannya beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun katanya, pada pertemuan itu, Sugumaran juga tidak ada menunjukkan sebarang perubahan, malah bersikap seperti biasa.
"Kalau tanya saya, dia memang seorang yang sentiasa merendah diri biarpun telah berjaya.
"Kami dah berkawan lebih 20 tahun dan selama ini saya tengok dia seorang yang baik, berhati murni dan suka membantu orang lain.
"Bagi saya, perkara yang berlaku adalah kemalangan dan memang tak sangka mendiang sudah tiada lagi," ujarnya.
Tambah Sam, keluarga mendiang terlalu sedih dengan kejadian yang berlaku kerana ia berlaku secara tiba-tiba.
"Bagi saya, kematian Sugumaran merupakan satu kehilangan besar buat mereka," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Sabtu.
**pullquote**

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat, kebakaran di atas kapal kontena terbabit turut meragut nyawa awarga Britain, Darren Holling, 49, yang bekerja sebagai pakar kebakaran dan kru warga Filipina, Diaday Jason Hernia, 38.
Selain itu, tiga lagi kru kapal kontena terbabit yang dilaporkan cedera dan kini dirawat di sebuah hospital swasta.
Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada salah sebuah kontena di kapal Kyparissia yang berdaftar di Malta dan sedang dalam pelayaran dari PTP menuju ke Lome, Togo.
Susulan kejadian itu, kapal berkenaan berpatah balik ke Dermaga 4 PTP bagi mendapatkan bantuan kecemasan dan menjalani pemeriksaan lanjut.
Dalam pada itu, suasana pilu dan hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HSA di sini apabila ahli keluarga dan kenalan rapat mendiang hadir ke Jabatan Forensik bagi menuntut mayat.
Setelah proses bedah siasat selesai sekitar jam 2 petang, mayat Sugunaran dituntut keluarga kira-kira pada jam 3 petang.
Difahamkan, ahli keluarga dan kenalan rapat turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang yang juga Pengarah Urusan sebuah syarikat perkapalan.
Mendiang kemudiannya dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Bandar Seri Alam, Masai bagi upacara penghormatan sebelum dibawa ke Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
