Transformasi Johor Bahru City Square kukuh kedudukan sebagai destinasi beli-belah

JOHOR Bahru City Square (JBCS), nadi pusat beli-belah Johor Bahru, baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Peningkatan Aset (AEI) secara berfasa yang akan mengukuhkan statusnya sebagai destinasi beli-belah dan gaya hidup pilihan utama di Johor Bahru.
Projek pembangunan dan penaiktarafan ini akan menampilkan wajah baharu dengan ruang dalaman moden dan dinaik taraf, pilihan beli-belah yang lebih banyak serta zon pengalaman baharu sekaligus mengukuhkan kedudukan JBCS sebagai nadi utama beli-belah, santai dan gaya hidup untuk masa akan datang.
Kerja-kerja transformasi akan bermula pada bulan ini dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2027.

Pengarah Urusan Allgreen Group, pemilik syarikat JBCS, Tho Leong Chye berkata, transformasi bukan sekadar perubahan dari segi rupa fizikal tetapi juga tentang visi memperkenalkan destinasi yang bersedia menghadapi masa depan.
“JBCS telah lama menjadi pusat beli-belah pilihan bukan sahaja dalam kalangan pengunjung tempatan, malahan pelawat dari luar negara.
“Dengan gabungan penaiktarafan dari segi estetik, kepelbagaian pilihan jenama serta pengalaman menarik yang ditawarkan, kami berhasrat memastikan JBCS terus berkembang sebagai destinasi pilihan utama generasi kini dan akan datang untuk tujuan beli-belah, santai dan gaya hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, transformasi akan dibahagikan mengikut lima fasa berbeza dan sepanjang tempoh berkenaan pusat beli-belah akan terus beroperasi seperti biasa sementara zon-zon baharu akan dibangunkan serta ruang sedia ada yang lain melalui proses pengiktirafan dan pengubahsuaian.
Antara elemen utama transformasi ini termasuk:
1. Lebih banyak kedai: Penambahan penyewa utama dengan premis berwajah baharu serta zon pengalaman interaktif
2. Destinasi makanan: Ruang makan serba baharu yang menggabungkan sajian antarabangsa dengan pilihan kegemaran tempatan
3. Keluarga & Kesejahteraan: Kemudahan seperti Arena Kembara Si Cilik dan Hab Kesihatan dan Kesejahteraan untuk semua peringkat umur
4. Kelestarian & Teknologi: Sistem pendinginan yang menjimatkan tenaga, sistem parkir pintar, perhubungan digital dan pengurusan bahan buangan yang lebih baik
5. Reka Bentuk & Ruang Dalaman: Seni bina moden yang lebih terang berserta susun atur yang dipertingkatkan demi keselesaan pengunjung
Dalam pada itu, pembangunan pangsapuri hotel di bahagian atas pusat beli-belah yang dijangka siap pada Suku Kedua 2028 bakal memperkenalkan pengalaman baharu yang menggabungkan elemen hidup, bekerja dan bersantai menjadikan JBCS sebagai gaya hidup bersepadu di Johor Bahru.
Tidak ketinggalan, dengan landasan Rapid Transit System (RTS) yang bakal beroperasi pada hujung tahun 2026 dan menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dalam masa enam minit, JBCS dijangka akan menerima peningkatan ketara dalam jumlah kedatangan pengunjung tempatan dan luar negara.
Transformasi ini bukan sahaja akan menggalakkan kepelbagaian penawaran pengalaman beli-belah dan pertumbuhan penyewa malah turut memupuk pembangunan ruang komuniti yang mengukuhkan peranan JBCS sebagai destinasi beli-belah dan gaya hidup serba lengkap di selatan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

