‘Saya marah juga tapi kami serah pada undang-undang’ - Anak mangsa

ALOR SETAR – “Saya marah juga, tetapi kami pun tidak tahu apa motif abang berbuat demikian. Kami serahkan kepada undang-undang.”
Itu luahan Muhammad Khairul Hakimi Shamsul Zahari, 23, anak ketiga kepada eksekutif bank, Zahrullail Basir, 52, yang ditemukan maut di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini, Isnin lalu.
Muhammad Khairul Hakimi yang menuntut pada tahun akhir jurusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di sebuah universiti awam berkata, dia bergegas pulang sebaik menerima berita duka itu walaupun sedang menduduki peperiksaan semester ketujuh.
“Tidak sangka sampai boleh ke tahap itu. Biar polis dan mahkamah yang uruskan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya, di sini pada Rabu.
Jelasnya, dia sepatutnya pulang ke kampung sehari selepas kejadian kerana cuti semester bermula sehingga selepas Aidilfitri ini.
Menurutnya, dia sempat menduduki peperiksaan bagi satu subjek dan perlu pulang ke universiti pada Sabtu ini untuk meneruskan peperiksaan yang tertangguh.
Mengulas kali terakhir bertemu arwah ibunya, Muhammad Khairul Hakimi berkata, mereka kali terakhir berjumpa pada Oktober lalu kerana masing-masing sibuk dengan urusan kuliah.
“Kalau balik rumah, mama selalu masak macam-macam sebab mama pandai masak. Lepas ini tidak dapat lagi rasa masakan mama.
“Raya tahun ini pun pasti berbeza sebab mama sudah tiada, tetapi saya reda kerana masih ada ahli keluarga lain yang bersama,” katanya sebak.
Jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Aziz, Tanjung Bendahara, di sini, kira-kira jam 3 petang pada Selasa selepas selesai urusan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 52 tahun yang juga eksekutif operasi sebuah bank ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman di badan, disyaki dibunuh anak sulungnya.
Suspek berusia 29 tahun ditahan polis pada jam 8.34 malam Isnin ketika berada di dalam sebuah bas persiaran menuju ke Selangor.
Suspek direman tujuh hari sehingga 9 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ringkasan AI
- Muhammad Khairul Hakimi, anak kepada Zahrullail Basir yang ditemukan maut, serah kepada undang-undang
- Zahrullail Basir, eksekutif bank berusia 52 tahun, ditemukan maut di rumahnya di Alor Setar
- Muhammad Khairul Hakimi bergegas pulang dari universiti sebaik mendapat berita duka
- Jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Aziz, Tanjung Bendahara
- Suspek pembunuhan, anak sulung berusia 29 tahun, ditahan polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

