'Tak sangka rupanya kami tak sempat tua bersama' - Suami maut nahas, ibu empat anak hilang tempat bergantung

SEREMBAN - Seorang ibu kepada empat anak hilang tempat bergantung selepas suami tercinta maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya LEKAS, 21 Oktober lalu.
Suri rumah, Nur Syazatul Ainaa Johan, 30, berkata, dalam kejadian jam 6.50 petang itu, dia bersama suami, Ahmad Fadzhil A Rahman, 36, yang menunggang motosikal Yamaha LC, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Margosa, di sini sebelum kemalangan berlaku.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki warga Pakistan membrek secara mengejut menyebabkan motosikal ditunggangi arwah bersamanya tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan.
“Arwah suami meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada, manakala saya turut cedera parah dan masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban,” katanya kepada Sinar Harian.
Bercerita lanjut Nur Syazatul berkata, pagi sebelum kejadian, suaminya keluar ke tempat kerja di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sekitar jam 6.30 pagi namun motosikalnya mengalami kerosakan di Lebuhraya Kajang akibat ekzos tercabut menyebabkan arwah mengambil keputusan mengambil cuti kecemasan dan berpatah balik ke Seremban.
"Arwah terus baiki kerosakan motosikal sebelum mengajak saya menemaninya ke Kuala Lumpur untuk urusan mengambil barang.
"Kebiasaannya saya tak mahu ikut kerana sibuk menguruskan anak-anak tapi entah kenapa pada hari kejadian saya tergerak hati untuk menemaninya," katanya.
Nur Syazatul Ainaa berkata, dia dan suami bertolak ke Kuala Lumpur sekitar jam 12 tengah hari dan tiba di lokasi kira-kira jam 1 petang menaiki motosikal.
"Disebabkan barang yang hendak diambil belum sampai, kami sempat berjalan-jalan di sekitar KLCC, makan dan merakam video untuk dikongsi di media sosial.
“Saya sempat bergurau dengan suami, gunakan ‘filter’ bila dah tua nanti. Saya cakap, ini gambar kita bila dah tua nanti. Dia hanya senyum, tak cakap apa-apa. Tak sangka rupanya kami tak sempat tua bersama,” katanya sebak.
Tambahnya, arwah dilihat banyak meluangkan masa bersama keluarga sejak sebulan lalu dan setiap hari tidak lupa menitip pesan supaya menjaga anak-anak dengan baik.
“Anak-anak yang besar faham situasi yang ayahnya sudah tiada, cuma anak bongsu kami berusia tiga tahun masih mencari ayahnya.
“Sepanjang 11 tahun berkahwin, kami tak pernah berenggang, ke mana pun pasti berhubung dan berbalas mesej. Setiap hari dia akan pesan jaga anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Syazatul merayu saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan bagi menuntut keadilan buat arwah suami serta anak-anak mereka.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau terus menghubungi waris keluarga di talian berikut: Fasihah (kakak arwah) – 012-6557432, Wawa (kakak ipar arwah) – 017-2247658 dan Aina (isteri arwah) – 017-6777697.
Kemalangan berlaku kira-kira satu hingga dua kilometer sebelum simpang masuk ke Taman Margosa membabitkan motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu dengan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna ungu.
Ringkasan AI
- Seorang ibu kepada empat anak kehilangan suami dalam sebuah kemalangan di Lebuhraya LEKAS
- Motosikal yang ditunggangi suami Nur Syazatul bersamanya tidak sempat mengelak kereta Perodua Myvi yang membrek mengejut
- Suami meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah, Nur Syazatul cedera dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban
- Pasangan ini sempat berjalan-jalan di sekitar KLCC dan makan sebelum kejadian
- Nur Syazatul merayu saksi kemalangan untuk tampil bagi membantu siasatan dan menuntut keadilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

