Hamas, Israel kerjasama tidak langsung kekang Covid-19

No Image Caption
A
A
A

GAZA - Selama beberapa minggu, suasana di Semenanjung Gaza yang diduduki kelihatan tenang, satu keadaan yang amat jarang berlaku.

Pemerhati dan pakar politik Palestin berpendapat 'kedua-dua pihak yang bertelagah, Israel dan Hamas masing-masing sibuk menumpukan kepada langkah pencegahan terhadap pandemik Covid-19'.

Covid-19 telah meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia memaksa Hamas dan Israel mengubah medan perang kepada kerjasama tidak langsung untuk memperkukuh langkah pencegahan, lapor agensi berita Xinhua.

Pakar politik, Naji al-Batta berkata, bukan sahaja Hamas, malah Jihad Islam Palestin turut menumpukan usaha untuk memerangi virus itu.

Katanya, Israel, Hamas dan Jihad Islam cuba untuk bersatu tenaga membendung 'ancaman paling besar' memandangkan mereka berada di atmosfera yang sama.

Tiada siapa boleh menafikan Israel lebih maju dalam aspek perubatan, kata al-Batta.

"Israel khuatir andai virus itu menyerang Semenanjung Gaza, semua penduduk akan mendapatkan rawatan di kawasan diduduki, sudah tentu ia akan membebankan Israel."

Beliau yakin adalah tidak waras mana-mana pihak sama ada Palestin atau Israel untuk mengambil langkah ketenteraan kerana tiada siapa akan memperoleh manfaat, semua akan kalah.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Mac, Israel membenarkan penghantaran 200 set kit perubatan untuk mengesan virus Covid-19 di wilayah terkepung, menyuarakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Hamas bagi memerangi wabak berkenaan.

"Mahu atau tidak Israel perlu mencegah penularan virus itu ke wilayah Palestin bagi mengekang rantaian jangkitan antara kedua-dua pihak," kata seorang lagi pakar politik, Mustafa al-Sawaf.

"Sehingga sekarang, tiada kerjasama secara langsung antara kedua-dua pihak namun, Israel dan Hamas buat masa ini tidak mahu terlibat dalam dengan sebarang pertempuran kerana matlamat ketika ini adalah untuk membanteras Covid-19. - Bernama