Pesara guru rugi RM16,200, terpedaya sindiket penipuan telefon

Seorang pesara guru wanita kerugian RM16,200 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon pada September lepas. Gambar Hiasan
Seorang pesara guru wanita kerugian RM16,200 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon pada September lepas. Gambar Hiasan
A
A
A

RAUB - Seorang pesara guru wanita kerugian RM16,200 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam pada September lepas.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa berusia 69 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen sebuah negeri pada 30 September lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa nombor telefon dan akaun bank mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram.

"Mangsa yang terpedaya diarahkan memindahkan semua wang simpanannya ke satu akaun bank yang tidak dikenali kononnya bagi tujuan siasatan.

"Mangsa telah membuat dua transaksi pindahan wang ke akaun yang diarahkan suspek dengan alasan wang tersebut akan disimpan sementara sebelum dikembalikan selepas siasatan selesai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, suspek turut mengarahkan mangsa melaporkan diri melalui panggilan telefon setiap tiga jam.

"Pada 2 Oktober, mangsa sekali lagi dihubungi dan diarahkan memindahkan baki wang ke akaun sama,” ujarnya.

Mohd Shahril berkata, selepas menunggu sehingga 14 Oktober seperti yang diarahkan, mangsa tidak menerima sebarang panggilan dan menghubungi nombor telefon terbabit, namun tidak dijawab.

“Merasa tertipu, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada 6 Oktober,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd Shahril menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dan menakut-nakutkan mangsa dengan tindakan undang-undang.

“Jangan dedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali. Jika ragu-ragu dengan mana-mana panggilan atau transaksi, semak dahulu nombor akaun dan telefon di laman web https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan sebarang kejadian penipuan dalam talian.

Ringkasan AI

  • Pesara guru wanita kerugian RM16,200 akibat penipuan telefon
  • Mangsa berusia 69 tahun ditipu oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis
  • Suspek mendakwa nombor telefon dan akaun bank mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram
  • Mangsa diarahkan memindahkan wang ke akaun yang tidak dikenali untuk tujuan siasatan
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!