[VIDEO] Bekas akauntan tidak mahu dikaitkan lagi dengan GISBH
KAJANG – Bekas akauntan mengaku insaf dan tidak mahu dikaitkan dengan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang menyalahi undang-undang.
Hamimah Yakub, 72, berkata demikian selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan dan membayar denda RM4,500 dalam prosiding yang dijalankan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.
Menurutnya, keinsafan timbul bukan disebabkan dia ditahan reman selama empat bulan sejak Oktober tahun lalu, sebaliknya dia menyedari kesilapan dan mahu kembali ke pangkal jalan.
“Saya mengaku bersalah sememangnya bersalah dan kini benar-benar insaf malah dalam tempoh setahun kebelakangan ini, saya langsung tiada kaitan dengan GISBH.
“Saya juga berusaha menjaga hubungan agar tidak lagi dikaitkan dengan pertubuhan itu,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Penjara Kajang pada Jumaat.
Hamimah berkata, tempoh reman yang dilaluinya memberi banyak pengajaran dan ruang untuk bermuhasabah diri.

Katanya, buat masa ini dia mahu bersedia untuk menghadapi prosiding kes pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan syarikat sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Dia juga mengucapkan terima kasih Peguam Negara (AG) dan barisan peguam termasuk semua pihak yang membantunya.
Sementara itu, peguam, Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Hamimah berkata, anak guamnya merupakan tertuduh pertama yang dibenarkan untuk diikat jamin pada 13 Januari lalu.
Sejak itu beliau berkata, Hamimah telah mengikuti program pemulihan yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Selepas ini, kami harap tidak timbul isu-isu lain melibatkan pertubuhan yang menyeleweng membabitkan anak guam.
“Dia insaf, mengaku tersilap dan berusaha menjadi umat Islam yang sebenar,” katanya yang hadir bersama peguam, Kamal Hisham Jaafar.
Sementara Kamal Hisham berkata, ucapan terima kasih juga dibuat kepada Jabatan Perguam Negara (AGC) yang bertungkus lumus untuk menyelesaikan kes ini.
Beliau juga berharap, isu ini diselesaikan secara menyeluruh termasuk kes AMLA dapat diselesaikan secepat mungkin.
Pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Nasiruddin Mohd Ali dan 12 tertuduh lelaki dihukum penjara 15 bulan kerana menjadi ahli kumpulan menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.
Sementara isteri Nasiruddin dan lapan tertuduh wanita yang lain, didenda masing-masing RM4,500 atas pertuduhan sama.
Tertuduh wanita diperintah ke penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tertuduh.
Ringkasan AI
- Bekas akauntan mengaku insaf dan tidak mahu dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd kerana menyalahi undang-undang
- Hamimah Yakub mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan dan membayar denda RM4,500
- Keinsafan timbul bukan disebabkan ditahan reman selama empat bulan, tetapi menyedari kesilapan
- Tempoh reman memberi banyak pengajaran dan ruang untuk bermuhasabah diri
- Hamimah telah mengikuti program pemulihan yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

