KKM harap tidak capai 6,000 kes seperti ramalan agensi kajian

A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) berharap positif koronavirus (Covid-19) tidak mencapai 6,000 kes seperti dinyatakan agensi kajian, JP Morgan Chase & co.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan kerajaan melaksanakan aktiviti awam termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

"Kita harapkan dengan tindakan itu KKM dapat kurangkan kes positif dan tidak mencapai 6,000 kes," katanya.

"Kalau berjaya landaikan graf maksudnya perkhidmatan kesihatan kita dapat menampung kes tersebut," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 3,400 katil disediakan dan menyasarkan 300 wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kita sudah meningkatkan kemampuan dengan menambah lagi institut latihan sebanyak 1,892 katil lagi.

"Keseluruhan bukan hanya 3,400 katil tapi pertambahan 5,292 katil dapat tempatkan kes simptom tapi positif atau kes bergejala ringan tapi positif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian juga menyasarkan 800 ventilator di kesemua fasilitinya.

Artikel Berkaitan:

"526 ventilator masih berfungsi, 229 ditempah, 54 dihantar ke hospital, baki 175 dalam penghantaran dan dijangka diterima awal April," katanya

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, ubat anti-viral, Favipiravir yang dicadangkan untuk merawat pesakit Covid-19 itu tidak didaftarkan dengan KKM.

"Bagaimanapun ia boleh digunakan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan namun kita perlu mengkajinya terlebih dahulu kerana ia mempunyai kesan sampingan," katanya.