Sukarelawan CovidSinar gigih edar bantuan walau berdepan cabaran

A
A
A

SHAH ALAM – Sukarelawan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar) gigih mengedarkan bantuan walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, seramai 30 sukarelawan perlu memastikan keselamatan diri dengan memakai sarung tangan dan topeng muka semasa proses pengedaran.

Mereka juga perlu melakukan penjarakan sosial dengan ahli keluarga apabila pulang ke rumah kerana perlu mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pasukan sukarelawan ini sanggup berkorban dan mengambil risiko bagi memastikan keselamatan petugas barisan hadapan terjaga.

“Walaupun sukarelawan berdepan risiko tetapi petugas barisan hadapan ini berdepan risiko lebih besar kerana mereka berurusan terus dengan pesakit yang mungkin mempunyai Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Hari ini, pasukan tersebut telah menerima sebanyak 1,000 alat pelindungan peribadi (PPE) dan 100 botol hand sanitizer daripada pembekal untuk diserahkan kepada klinik kesihatan terpilih.

Menurut Auzani, bekalan PPE dan hand sanitizer yang diterima daripada pembekal itu akan diedarkan kepada klinik kesihatan yang memerlukan di kawasan zon merah.

Ujarnya, Kumpulan Karangkraf menjadi lokasi pengumpulan barangan bantuan bermula hari ini kerana tempat simpanan di Klinik Kesihatan Seksyen 19 yang dijadikan pusat pengumpulan sebelum ini sudah penuh.

Artikel Berkaitan:

"Kami turut berdepan masalah untuk mendapatkan pembekal barangan keperluan kerana tidak banyak pembekal yang boleh menyediakan kelengkapan dalam kuantiti yang dikehendaki dalam tempoh segera," jelasnya.

Dalam pada itu, Auzani turut kagum dengan kecekalan petugas barisan hadapan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Biarpun mereka orang yang paling sibuk sekarang tapi semangat mereka masih tinggi.

"Mereka memerlukan bantuan kita sebagai rakyat Malaysia. Barang kelengkapan yang kita salurkan ini dapat membantu mereka memerangi Covid-19 ini,” katanya.