Jururawat didakwa cederakan jiran

KUALA LUMPUR - Seorang jururawat wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan jirannya sehingga menyebabkan pergelangan tangan mangsa retak pada Mei lepas.
Chan Siew Peng, 51, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lim Siew Woi, 55, dengan menolak pintu jeriji rumah mangsa berulang kali sehingga menyebabkan keretakan di pergelangan tangan kanan mangsa di sebuah unit kondominium di Taman Bukit Indah di sini pada 3.30 petang 15 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Difahamkan kejadian itu berlaku kerana mangsa dipercayai membuat bising sehingga menyebabkan tertuduh ke rumah mangsa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Chan, yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia ibu tunggal dan perlu menyara seorang anak lelaki berusia 15 tahun yang masih bersekolah.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang jururawat wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan jirannya hingga menyebabkan pergelangan tangan retak
- Kejadian berlaku akibat jururawat tersebut menolak pintu jeriji rumah mangsa berulang kali
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda
- Insiden ini dipicu oleh dakwaan mangsa membuat bising
- Tertuduh, yang merupakan ibu tunggal, diberi jaminan RM5,000 dengan majlis penutup kes pada 10 Dis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
