[KRONOLOGI] Kes Pastor Koh, ini yang anda perlu tahu

Pastor Raymond Koh
Pastor Raymond Koh
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah lebih lapan tahun berlalu sejak Pastor Raymond Koh hilang begitu sahaja tanpa jejak.

Pada 5 November 2025, selepas perjuangan panjang keluarganya, keadilan akhirnya memihak kepada mereka apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar pampasan melebihi RM31 juta kepada waris beliau berhubung dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikannya.

Tanggal 13 Februari 2017 menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan oleh keluarga Pastor Koh yang juga pengasas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Harapan Komuniti itu.

Pastor Koh memandu keluar dari rumahnya di Petaling Jaya menuju ke rumah rakannya sebelum berlaku sesuatu yang di luar jangkaan berlaku di pertengahan jalan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar selepas itu menunjukkan detik mencemaskan bagaimana Koh diculik sekumpulan individu bertopeng apabila kereta beliau dikelilingi, pintu dibuka, dan ditarik keluar.

Sejak hari itu, tiada sesiapa lagi melihat atau mendengar khabar daripadanya, malah kehilangan Pastor Koh meninggalkan persoalan besar.

Isterinya, Susanna Liew, tidak pernah berputus asa dan melakukan pelbagai cara untuk mencari suaminya termasuklah menggerakkan kempen mencari suaminya, menghubungi NGO hak asasi manusia dan menuntut siasatan telus daripada polis.

Pada April 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan hasil yang mengejutkan bahawa penculikan paderi itu adalah satu 'penghilangan secara paksa' dan melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Bahagian Cawangan Khas.

Susanna Liew kemudiannya memfailkan tuntutan sivil terhadap kerajaan Malaysia dan PDRM pada Februari 2020, sekali gus menuntut kebertanggungjawaban atas penculikan suaminya serta kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang adil dan telus.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan itu berlarutan selama beberapa tahun, dengan pelbagai saksi dipanggil dan bukti video diteliti semula di mahkamah.

Pada 24 September 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kehilangan Pastor Koh yang diserahkan kepada keluarga dan peguam telah diubah.

KDN dalam kenyataan menjelaskan bahawa laporan tersebut merupakan dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).

Selepas lapan tahun penuh penantian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhirnya memerintahkan kerajaan Malaysia dan PDRM membayar pampasan melebihi RM31 juta kepada waris paderi itu berhubung dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikannya.

Hakim Datuk Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017, iaitu tarikh kehilangan Pastor Koh sehingga dia ditemui.

Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM250,000 dibayar kepada pihak plaintif.

Semasa prosiding, hakim berkata, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis termasuk bekas pegawai, didapati terlibat dalam penculikan Pastor Koh. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!