Kerajaan, PDRM diarah bayar lebih RM31 juta kepada waris Pastor Koh

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar pampasan melebihi RM31 juta kepada waris Pastor Raymond Koh berhubung dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikannya, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017, iaitu tarikh kehilangan Raymond sehingga dia ditemui.
Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM250,000 dibayar kepada pihak plaintif.
Semasa prosiding, hakim berkata, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis termasuk bekas pegawai, didapati terlibat dalam penculikan Raymond.
Katanya, mereka bertindak mengikut “satu arahan”.
Raymond diculik ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, dan sehingga kini, beliau telah hilang selama 3,188 hari.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian seragam hitam menyerupai anggota tentera telah menarik Raymond keluar dari kenderaannya.
Isteri Raymond, Susanna Liew, kemudiannya memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis berhubung dakwaan penglibatan pihak berkuasa dalam kehilangan suaminya serta kelemahan siasatan terhadap kes tersebut.
Pada 24 September 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kehilangan Raymond yang diserahkan kepada keluarga dan peguam telah diubah.
KDN dalam kenyataan menjelaskan bahawa laporan tersebut merupakan dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
Pada 2019, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat kes kehilangan Raymond yang diculik pada 2017 serta aktivis sosial, Amri Che Mat, yang hilang pada 2016.
Dalam prosiding sama, hakim turut memerintahkan kerajaan dan pihak polis membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin, berhubung kehilangan aktivis itu sembilan tahun lalu.
Perintah tersebut meliputi ganti rugi am dan teruk RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, serta ganti rugi khas RM14,457.52.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia dan PDRM membayar pampasan melebihi RM31 juta kepada waris Pastor Raymond Koh
- Kerajaan perlu membayar ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017 sehingga Raymond ditemui
- Kos sebanyak RM250,000 juga perlu dibayar kepada pihak plaintif
- Satu atau lebih pegawai polis, termasuk bekas pegawai, didapati terlibat dalam penculikan Raymond
- Raymond diculik lebih dari 3,188 hari lalu dan proses siasatan mengalami kelemahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

