Elak syarikat luar kuasai projek tempatan - Raja Nong Chik

Raja Nong Chik
Raja Nong Chik
A
A
A

PETALING JAYA – Proses perolehan kerajaan perlu diperkukuh dengan mekanisme pemantauan yang lebih telus bagi mengelak manipulasi oleh orang tengah tanpa kemampuan sebenar melaksanakan projek.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, fenomena itu semakin ketara apabila ada syarikat yang memenangi perolehan kerajaan kemudian menyerahkan kerja berkenaan kepada pihak luar, termasuk dari China.

“Biarpun ia perolehan terbuka, ia tetap boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kadangkala, asas penilaian tidak jelas sama ada keutamaan diberi kepada Bumiputera, pengilang tempatan atau pelabur dalam pembangunan produk dan perkhidmatan.

“Hingga kini, masih ada pihak yang memperoleh projek besar biarpun tidak mempunyai kilang. Mereka hanya membeli daripada pihak luar dan menyerahkan semula kepada kerajaan, seolah-olah sesiapa sahaja boleh menjadi ejen tanpa keupayaan sebenar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Beliau yang juga bendahari UMNO bahagian Lembah Pantai berkata, keadaan itu menyebabkan pengusaha tempatan yang melabur dalam pembangunan produk berasa kecewa apabila pihak yang tidak menanggung kos pelaburan jangka panjang tetap mendapat kelebihan.

Tambahnya, kelemahan dalam pelaksanaan dasar perolehan itu berpunca daripada kurangnya integriti serta keikhlasan pihak tertentu dalam membuat penilaian dan keputusan akhir.

Menurutnya, kelemahan sistem sedia ada turut menyebabkan syarikat antarabangsa hilang keyakinan terhadap pasaran Malaysia kerana berpendapat proses penilaian tidak konsisten.

“Saya pernah berbincang dengan sebuah syarikat multinasional yang sebelum ini pernah memenangi projek kerajaan berskala besar. Mereka memaklumkan tidak lagi berminat menyertai perolehan di Malaysia kerana prosesnya sering berulang dan keputusan akhirnya tetap memihak kepada pihak tertentu.

“Apabila keadaan ini berlaku, pemain antarabangsa mula menjauh apatah lagi syarikat tempatan kecil yang sedang berkembang. Ia memberi kesan jangka panjang kepada daya saing ekonomi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, apabila projek besar diserahkan kepada kontraktor luar melalui pihak ketiga, industri tempatan tidak dapat berkembang dan akhirnya hanya bergantung kepada sumber import.

“Sekiranya syarikat luar diberi keutamaan, pengilang tempatan tidak akan melabur lagi kerana merasakan usaha mereka sia-sia. Lama-kelamaan semua hanya mahu menjadi ejen kerana lebih mudah dan kurang risiko.

“Situasi itu bukan sahaja membantutkan pertumbuhan syarikat Bumiputera, malah mendorong budaya rasuah dan ketirisan. Apabila orang tengah diberi kuasa, pihak yang layak diketepikan dan projek akhirnya menjadi mahal serta tidak efisien,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula sistem penilaian perolehan secara terbuka bagi memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua pihak.

“Setiap kali perolehan ditawarkan, keputusan serta markah penilaian perlu disiarkan secara terbuka di laman web rasmi. Apabila alasan pemilihan dinyatakan dengan jelas, tiada pihak akan mempertikaikan keputusan yang dibuat.

“Langkah ini juga boleh memulihkan keyakinan pelabur dan industri tempatan terhadap dasar kerajaan Madani yang menekankan ketelusan serta akauntabiliti,” katanya.

“Saya yakin jika proses itu telus, rakyat akan mendapat produk yang lebih berkualiti, murah dan selamat,” katanya.

Ringkasan AI

  • Proses perolehan kerajaan perlu diperkukuh dengan mekanisme pemantauan yang lebih telus untuk mengelak manipulasi
  • Fenomena syarikat memenangi perolehan kemudian menyerahkan kepada pihak luar tanpa keupayaan sebenar semakin ketara
  • Kelemahan sistem perolehan menyebabkan syarikat antarabangsa hilang keyakinan terhadap pasaran Malaysia
  • Situasi semasa membantutkan pertumbuhan syarikat Bumiputera dan mendorong budaya rasuah serta ketirisan
  • Raja Nong Chik mencadangkan sistem penilaian perolehan secara terbuka untuk memastikan ketelusan dan keadilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!