Curi air: Pengusaha komersial penyumbang utama kerugian Air Selangor

SHAH ALAM – Sebanyak 1,622 kes kecurian air dikesan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sejak 2020, menjadikan kawasan ini antara yang paling tinggi mencatatkan aktiviti sambungan tidak sah bekalan air terawat.
Menurut Ketua Hal Ehwal Korporat Air Selangor, Muhamad Anwar Zamree, menerusi 57,724 laporan diterima sejak lima tahun lalu, sebahagian besar melibatkan pengguna komersial dan pengusaha yang mengambil kesempatan terhadap bekalan awam.

Beliau berkata, perbuatan itu menyebabkan Air Selangor menanggung kerugian bernilai RM2.45 juta bermula Januari hingga September tahun ini.
“Daripada jumlah itu, kami telah mengeluarkan 165 surat tuntutan dan berjaya memulihkan semula RM1.12 juta hasil tindakan undang-undang serta rundingan bayaran balik,” katanya ketika ditemui pada operasi bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Desa Kemuning di sini.
Beliau berkata, operasi itu sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi membanteras kegiatan kecurian air di Selangor.
Katanya, tindakan kali ini memfokuskan resort, kolam pancing dan depoh logistik yang dipercayai menggunakan air curi bagi operasi harian masing-masing.
“Sebagai contoh hanya satu meter berdaftar digunakan di kolam pancing tersebut, namun akaun itu sudah lama tidak aktif. Pemeriksaan lanjut menemukan dua saluran paip tidak sah disambung terus ke premis berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, wakil pemilik premis memaklumkan empat individu berkongsi tapak itu, namun tiada seorang pun berada di lokasi semasa operasi dijalankan.
“Kami menunggu hampir dua jam bagi mendapatkan maklumat lanjut, tetapi tiada wakil tampil. Tindakan undang-undang tetap diteruskan,” katanya.
Muhammad Anwar menjelaskan, setiap kes dikira menggunakan formula teknikal melibatkan saiz paip, tekanan air dan tempoh penggunaan bagi menentukan jumlah kerugian sebenar.
Beliau berkata, kehilangan air bukan hasil (NRW) memberi kesan langsung kepada kos operasi dan kecekapan sistem bekalan di seluruh negeri.
“Kecurian air bukan sekadar jenayah ekonomi tetapi perbuatan menzalimi pengguna lain,” tegasnya.

Ringkasan AI
- Sebanyak 1,622 kes kecurian air dikesan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sejak 2020
- Kebanyakan kes melibatkan pengguna komersial dan pengusaha
- Kerugian bagi Air Selangor bernilai RM2.45 juta dari Januari hingga September tahun ini
- Sejumlah 165 surat tuntutan telah dikeluarkan dan RM1.12 juta berjaya dipulihkan
- Operasi bersama dengan SPAN adalah usaha membanteras kegiatan kecurian air di Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

