Negara rugi lebih RM32 juta akibat kecurian air

SPAN dengan kerjasama operator air negeri terus memperhebat operasi risikan dan serbuan terhadap premis yang disyaki melakukan penyambungan tidak sah.
SPAN dengan kerjasama operator air negeri terus memperhebat operasi risikan dan serbuan terhadap premis yang disyaki melakukan penyambungan tidak sah.
A
A
A

SHAH ALAM – Kegiatan mencuri air sejak lima tahun lalu menyebabkan negara kerugian lebih RM32 juta.

Manakala sepanjang tempoh sama antara 2020 hingga 2025, sebanyak 1,191 kes serbuan direkodkan melibatkan pelbagai bentuk sambungan haram di premis perniagaan, kawasan industri dan kediaman.

Pengarah Komunikasi Strategik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), TS Mohd Fazil Ismail berkata, nilai kerugian besar itu berpunca daripada kehilangan air tanpa hasil (NRW) akibat perbuatan segelintir pihak yang mengambil kesempatan untuk menjimatkan kos operasi.

 Mohd Fazil
Mohd Fazil

“Anggaran jumlah kerugian keseluruhan lebih RM32 juta bagi tempoh lima tahun menunjukkan kesan besar terhadap ekonomi negara.

“Namun trend terkini menunjukkan penurunan hasil peningkatan kesedaran pengguna dan operasi penguatkuasaan yang dijalankan secara bersepadu bersama operator air,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 64 kes telah dibawa ke mahkamah di bawah dua seksyen utama Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), manakala kes selebihnya dikenakan kompaun dengan kutipan keseluruhan mencecah hampir RM3 juta.

Menurutnya, penguatkuasaan kini diperketat selepas pindaan Akta 655 berkuat kuasa pada 15 Mac lalu yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

Artikel Berkaitan:

“Di bawah Seksyen 123, individu yang disabit kesalahan membuat sambungan haram boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kes menyambung semula bekalan air yang telah dipotong tanpa kebenaran di bawah Seksyen 89(9), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara enam bulan,” katanya.

Mohd Fazil menjelaskan, SPAN dengan kerjasama operator air negeri terus memperhebat operasi risikan dan serbuan terhadap premis yang disyaki melakukan penyambungan tidak sah termasuk di kawasan berisiko tinggi seperti tapak projek, kolam pancing komersial dan depoh logistik.

“Walaupun jumlah serbuan menunjukkan penurunan, pengawasan di lapangan tetap berterusan.

“Kami mahu pastikan setiap titisan air yang dibekalkan sampai kepada pengguna sah, bukan kepada mereka yang menyeleweng,” tegasnya.

Beliau berkata, penurunan jumlah serbuan sejak dua tahun ini juga menunjukkan hasil positif daripada kempen kesedaran awam yang dijalankan bersama pihak operator air serta sokongan pengguna yang kini lebih peka terhadap isu kehilangan air.

Mohd Fazil turut menyeru pengusaha industri, resort dan kolam pancing supaya tidak melakukan sambungan tidak sah.

“Air adalah sumber awam. Jangan curi. Laporkan segera kepada pihak berkuasa jika ada aktiviti mencurigakan di kawasan anda,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fazil mengakui perlu menghadapi risiko berdepan dengan tindakan agresif, ancaman fizikal atau sabotaj terhadap pegawai SPAN dan operator air.

“Aspek keselamatan perlu diberi keutamaan termasuk pengiring keselamatan, latihan taktikal dan penggunaan peralatan perlindungan diri.

“Kekangan dari segi bidang kuasa dan kolaborasi antara agensi juga menjadi cabaran besar. Walaupun SPAN mempunyai kuasa penguatkuasaan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pelaksanaan di lokasi sering memerlukan bantuan dan koordinasi dengan agensi lain seperti polis, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kegiatan mencuri air sejak lima tahun lalu menyebabkan kerugian lebih RM32 juta
  • Sebanyak 1,191 kes serbuan direkodkan dari 2020 hingga 2025 melibatkan sambungan haram
  • Anggaran jumlah kerugian besar itu berpunca dari kehilangan air tanpa hasil
  • Penguatkuasaan diperketat dengan hukuman lebih berat setelah pindaan Akta 655
  • Kerjasama dengan operator air negeri untuk memperhebat operasi risikan dan serbuan terhadap penyambungan tidak sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!