Resort mewah curi air, bil pernah RM36 sebulan!

KUALA SELANGOR – Sebuah resort di tengah-tengah kawasan sawah padi di Sekinchan ini tampak tenang dan memukau dengan pemandangan sekeliling menghijau yang menjadi tumpuan pengunjung setiap hujung minggu.
Namun di sebalik keindahan itu, tersembunyi kegiatan licik di mana terdapat sambungan paip air haram yang membolehkan premis tersebut menikmati caj penggunaan air yang sangat rendah sejak bermulanya operasi mereka, setahun lalu.
Kegiatan curi air yang sama turut dikesan di dua buah lokasi iaitu sebuah kolam memancing di Desa Kemuning, Shah Alam serta depoh logistik di Klang yang menggunakan air curi untuk mencuci lori dan jengkaut.
Modus operandi berkenaan dilakukan pemiliknya untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan cara mencuri air melalui penyambungan haram dalam tanah dari saluran paip utama.
Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
Hasil risikan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui agensinya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Air Selangor, akhirnya membongkar kegiatan yang merugikan jutaan ringgit setahun kepada operator air negeri.
Sinar Harian yang turut mengikuti serbuan serentak di tiga lokasi itu dijalankan selepas beberapa minggu pemantauan teknikal berikutan penurunan tekanan air luar biasa di kawasan terbabit.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik SPAN, Ts Mohd Fazil Ismail, operasi tersebut diselaraskan selepas laporan diterima daripada Air Selangor.
“Risikan bermula daripada aduan pengguna dan operator tentang tekanan air yang menurun mendadak. Hasil siasatan menunjukkan ada sambungan mencurigakan di tiga premis itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, pasukan teknikal Air Selangor menggunakan sistem digital untuk mengesan corak aliran air yang tidak konsisten.
“Bila kita dapati bacaan meter terlalu rendah berbanding penggunaan sebenar, kita tahu ada sesuatu yang tak kena,” jelasnya.
Selepas pengesahan dibuat, pasukan penguat kuasa SPAN memperoleh waran dan menjalankan serbuan bersama anggota Air Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar kehilangan air di kawasan berkenaan.
600 meter sambung paip haram
Pemeriksaan resort di Sekinchan mendedahkan berlaku aktiviti penggunaan air secara curang di mana terdapat penyambungan paip haram di bahagian luar pagar.
Bil air resort tersebut pernah merekodkan penurunan sehingga RM36 sebulan, jumlah tidak masuk akal bagi premis penginapan yang mempunyai lebih 40 bilik berharga antara RM120 hingga RM500, dilengkapi dewan keramaian dan kafe.
Berdasarkan purata penggunaan, bil yang sepatutnya dikenakan terhadap resort itu adalah sekitar RM3,000 sebulan, mengambil kira resort berkenaan sering mencapai kadar penghunian 100 peratus pada musim cuti.
Siasatan Air Selangor sebelum ini mendapati terdapat tiga paip yang disalur masuk ke dalam premis tetapi pada hari serbuan, salah satunya telah diputuskan.

Pemilik premis mendakwa, tidak mengetahui penyambungan haram itu kerana baru mengusahakan perniagaan tersebut selepas mengambil alih bangunan berkenaan daripada pemilik sarang burung walet.
SPAN bersama Air Selangor terpaksa mengambil masa hampir enam jam untuk mencari punca sebenar penyambungan haram dari paip utama yang berkedudukan sejauh lebih kurang 600 meter.
Mohd Fazli berkata, pemilik premis akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) pindaan 2025 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Premis itu juga didapati melakukan kesalahan memasang pam air selepas meter bagi menarik tekanan air untuk mengisi tangki simpanan, yang jelas melanggar Kaedah 45, Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014.
Sepatutnya, pam air tersebut perlu dipasang selepas tangki simpanan dan pemilik premis memaklumkan tidak mengetahui kesalahan berkenaan.
“Pihak operator (Air Selangor) sebelum ini menerima aduan berulang iaitu sebanyak lima kali kerosakan meter. Dalam tempoh aduan itu, sudah dua kali meter ditukar.
“Sangsi dengan aduan yang berulang, selepas diperiksa, kita dapati mereka sengaja memasang pam tambahan yang mengganggu bacaan sebenar,” kata Mohd Fazil.
Serbuan kedua dilakukan di kolam pancing Desa Kemuning, yang sering menjadi lokasi pilihan kaki pancing sekitar Lembah Klang.
Hasil siasatan mendapati paip haram bawah tanah digunakan untuk menyalurkan air ke kolam tanpa melalui sistem meter sah.
“Premis ini menggunakan air dalam jumlah yang besar setiap hari untuk menukar air kolam dan mencuci kawasan,” jelas Mohd Fazil.
Menurutnya, bekalan air ke premis berkenaan telah dihentikan serta-merta dan pemilik diarahkan membayar semula tunggakan sebenar sebelum sebarang sambungan semula dibenarkan.
Dalam serbuan di Klang, sebuah depoh logistik pula dikesan mengambil air secara haram dari paip utama bawah tanah bagi tujuan mencuci lori serta jengkaut di tapak projek.
Mohd Fazil berkata, tiada sambungan meter berdaftar ditemui, malah pemeriksaan mendapati sambungan dilakukan terus daripada saluran utama menggunakan penyambung khas.
“Premis industri seperti ini menelan penggunaan air tinggi. Bila mereka curi air, bukan sahaja rugi kepada operator, malah tekanan air kawasan perumahan berhampiran turut terjejas,” katanya.

Sistem SISMAS jejak kes curi air
Mohd Fazil menjelaskan, setiap serbuan dan bukti kes direkodkan dalam Sistem Integriti dan Siasatan SPAN (SISMAS) bagi tujuan semakan dan pendakwaan.
“Sistem ini memastikan setiap kes dapat dijejak semula dengan bukti teknikal dan foto di lapangan. Semua barang kes seperti paip, penyambung atau meter rosak disimpan di stor rasmi,” ujarnya.
Kegiatan mencuri air, katanya, memberi kesan langsung kepada pengguna sah apabila tekanan air kawasan kediaman berkurangan tanpa sebab jelas.
“Apabila industri curi air dalam kuantiti besar, pengguna biasa jadi mangsa. Mereka marah operator sedangkan punca sebenar ialah kecurian,” katanya.
Situasi itu juga mencetuskan salah faham terhadap operator yang disangka gagal mengurus bekalan air dengan baik.
Mohd Fazil menjelaskan, kerajaan melalui PETRA dan SPAN kini memperketat undang-undang bagi membendung kecurian air.
Selain menaikkan kadar denda, pihaknya juga bekerjasama dengan operator negeri untuk menambah baik pemantauan digital dan sistem amaran tekanan air di seluruh Semenanjung.
“Kita mahu setiap liter air yang dirawat sampai kepada pengguna sah dan berdaftar,” tegasnya.
Ringkasan AI
- Resort di Sekinchan terlibat dalam kegiatan mencuri air melalui penyambungan paip haram
- Kegiatan mencuri air juga berlaku di kolam memancing di Desa Kemuning dan depoh logistik di Klang
- SPAN dan Air Selangor menjalankan siasatan dan serbuan berdasarkan aduan dan penurunan tekanan air
- Pemilik premis boleh dikenakan hukuman denda atau penjara mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006
- Kerajaan melalui PETRA dan SPAN memperketat undang-undang dan meningkatkan pemantauan digital untuk membendung kecurian air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

