Kementerian Wilayah Persekutuan wujudkan Inisiatif Wilayah Cakna

A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini mewujudkan Inisiatif Wilayah Cakna dengan peruntukan RM63.6 juta bagi membantu warga Wilayah Persekutuan dalam menguruskan impak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebahagian besarnya berjumlah RM54.3 juta adalah untuk membantu golongan miskin bandar, kumpulan B40, pelajar, gelandangan dan peniaga kecil serta penjaja.

Menurutnya, sejumlah RM5.9 juta diperuntukkan lagi adalah bagi membantu petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas perubatan dan penguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebanyak RM3.4 juta lagi adalah bagi membantu pesakit, pesakit dalam siasatan (PUI) dan mangsa Covid-19 termasuk sumbangan peralatan bernilai RM3.3 juta kepada tujuh hospital Wilayah Persekutuan.

"Manakala, RM500 kepada setiap keluarga mangsa Covid-19 dan RM2,500 bagi setiap kes kematian Covid-19 di Wilayah Persekutuan,“ katanya pada sidang akhbar secara langsung petang ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, antara lain inisiatif itu juga merangkumi pengecualian bayaran sewa sebulan pada Mac dan penangguhan dua bulan kepada 40,000 penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah RM4.96 juta.

"Sebanyak 24,196 keluarga akan diberikan bantuan zakat khas RM500 setiap satu keluarga melibatkan RM12.1 juta, bantuan one-off RM500 turut diberikan kepada peniaga kecil dan penjaja berjumlah RM11.8 juta dan elaun khas turut diberikan kepada penguat kuasa, pasukan perubatan dan petugas operasi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penangguhan enam bulan bayaran balik pembiayaan tanpa sebarang penalti lewat di bawah Skim Pembiayaan Khas Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan, anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan turut diberikan kepada 6,000 pembeli rumah PPR dan PA DBKL.

“Sementara bagi penjaja dan penjaga kecil, pengecualian sewa tiga bulan diberikan kepada 6,000 penjaja di Kuala Lumpur, manakala peniaga yang menyewa premis Perbadanan Putrajaya pula diberikan pengecualian dua bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, sumbangan ‘food pack’ juga akan diberikan kepada 65,000 keluarga miskin dan B40 di Kuala Lumpur dan 1,000 di Putrajaya serta bantuan makanan kepada gelandangan melibatkan seramai 700 orang.