850 pelajar UTM terjejas gangguan air

JOHOR BAHRU – Seramai 850 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang tinggal di Asrama Blok A dan B kampus tersebut terjejas akibat gangguan bekalan air sejak Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang berkata, gangguan itu dipercayai berpunca daripada tangki utama UTM yang kehabisan bekalan air, menyebabkan pelajar berdepan kesukaran menjalankan aktiviti harian seperti mandi dan mendapatkan air minuman.
Menurutnya, tindakan pantas diambil oleh operator air Johor, Ranhill SAJ, dengan menghantar lori tangki bagi menyalurkan bekalan air bersih kepada pelajar terbabit.
“Pagi tadi (Selasa), pihak Ranhill SAJ telah menghantar satu lori tangki air bagi menyalurkan bekalan air kepada pelajar yang terjejas, dan usaha ini akan diteruskan sehingga malam.
“Namun tekanan air masih lemah dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan pelajar di kedua-dua blok berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan segera turut diambil untuk menaikkan tekanan air ke paip utama (feeder) UTM melalui punca alternatif bagi memulihkan bekalan sepenuhnya.
Untuk rekod, beberapa kawasan di selatan Johor mengalami gangguan bekalan air sejak lima hari lalu susulan pencemaran di Sungai Johor.
Sementara itu, Bor Yang memaklumkan bahawa bekalan air di kawasan lain telah kembali pulih, namun pemulihan penuh di kawasan kampus UTM masih berjalan.
“Sebanyak 4,000 botol air mineral telah disalurkan kepada pelajar dan kita akan terus bekerjasama dengan Ranhill SAJ bagi memastikan bekalan air bersih sampai ke kampus.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Diharapkan mereka yang terjejas dapat menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 850 pelajar UTM terjejas akibat gangguan bekalan air
- Gangguan disebabkan tangki utama UTM kehabisan bekalan air
- Ranhill SAJ hantar lori tangki untuk salurkan air bersih kepada pelajar
- Tekanan air masih lemah dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan pelajar
- Sebanyak 4,000 botol air mineral disalurkan kepada pelajar dan usaha pemulihan bekalan air masih berjalan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
