JPJ audit keselamatan syarikat lori tanah terbabit kemalangan di Meru

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor melaksanakan audit keselamatan terhadap syarikat pengendali lori tanah yang terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah, Meru pada 21 Oktober lalu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, audit tersebut dijalankan di bawah JPJ Inspection & Safety Audit (JISA) bagi menilai tahap pematuhan syarikat berkaitan aspek keselamatan.
“Melalui JISA, JPJ menilai lima komponen utama iaitu pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod serta pengurusan risiko.
“Tujuan audit ini adalah untuk memastikan syarikat pengangkutan yang terlibat mematuhi semua aspek keselamatan operasi dan penyelenggaraan kenderaan seperti yang digariskan,” katanya ketika ditemui selepas siri lelongan awam di Ibu Pejabat JPJ Selangor di sini pada Rabu.
Menurut Azrin, langkah itu merupakan sebahagian daripada tindakan susulan JPJ berhubung insiden lori tanah hilang kawalan semasa menuruni jalan berbukit hingga merempuh tiga kenderaan lain di lampu isyarat berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan terhadap punca sebenar kemalangan termasuk dakwaan masalah brek lori masih dijalankan oleh pihak polis.
“JPJ hanya menumpukan kepada pemeriksaan pematuhan terhadap syarikat berkenaan dan tidak membabitkan pemeriksaan teknikal ke atas kenderaan yang kini berada di bawah siasatan polis,” katanya.
Dalam pada itu, Azrin turut memaklumkan bahawa JPJ Selangor kini menempatkan anggota secara statik dan mudah alih di sekitar kawasan Bukit Cerakah bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta memantau aktiviti lori tanah.
“Kita menempatkan anggota setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 11 malam bagi tujuan kawalan trafik dan pemantauan terhadap lori lebih muatan atau kenderaan yang mempunyai masalah teknikal.
“Pemantauan ini telah dijalankan sejak dua minggu lalu dan setakat ini, kebanyakan pemandu lori menunjukkan tahap pematuhan yang baik terhadap peraturan jalan raya,” katanya.
Azrin berkata, tindakan pemantauan berterusan itu juga bertujuan meningkatkan ‘Perception of Being Caught’ (POBC) dalam kalangan pemandu lori agar sentiasa berwaspada dan patuh kepada undang-undang.
“POBC ini penting supaya pemandu tahu bahawa JPJ sentiasa berada di lapangan dan pemantauan dijalankan secara berterusan. Ia secara tidak langsung dapat mencegah pelanggaran undang-undang dan kemalangan jalan raya,” katanya.
Dalam kejadian 21 Oktober lalu, sebuah lori tanah dipercayai hilang kawalan semasa menuruni jalan berbukit di Jalan Bukit Cerakah sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat.
Ringkasan AI
- JPJ Selangor melaksanakan audit keselamatan syarikat pengendali lori tanah yang terlibat dalam kemalangan
- Audit dijalankan untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan
- Audit menilai lima komponen utama termasuk pengurusan keselamatan dan kenderaan
- Langkah ini merupakan tindakan susulan JPJ berhubung insiden lori tanah hilang kawalan
- JPJ menempatkan anggota secara statik dan mudah alih di sekitar Bukit Cerakah untuk memantau lori tanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

