'Dakwaan Hamzah atur 6 MP Bersatu sokong Anwar satu pembohongan'

Syed Abu Hussin Hafiz (gambar kecil) mengakui Hamzah (dua dari kanan) pernah menyatakan hasrat untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi enggan melakukannya secara terbuka.
Syed Abu Hussin Hafiz (gambar kecil) mengakui Hamzah (dua dari kanan) pernah menyatakan hasrat untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi enggan melakukannya secara terbuka.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua daripada enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggerakkan mereka untuk meninggalkan parti.

Dua pemimpin berkenaan iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) turut menyifatkan kenyataan pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai satu 'pembohongan'.

Tambah Suhaili, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat tidak pernah terlibat atau tahu-menahu mengenai hasrat dirinya bersama lima bekas ahli Parlimen Bersatu itu untuk beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, dilaporkan selain Suhaili dan Syed Abdul Fasal, empat ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar adalah Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

"Kenyataan Pak Wan (Mohd Redzuan) tidak betul dan satu pembohongan.

"Datuk Seri Hamzah tidak pernah terlibat dengan (inisiatif) kami berenam menyokong Perdana Menteri dan meninggalkan parti (Bersatu). Dia (Hamzah) tidak tahu pun yang kami nekad sokong Kerajaan Madani," kata Suhaili kepada Sinar Harian pada Rabu.

Penjelasan Suhaili dan Syed Abu Hussin dikemukakan di tengah-tengah kemelut dalaman Bersatu tatkala Hamzah kini didakwa menjadi sasaran Lembaga Disiplin parti susulan kes pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Dr Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini.

Bersatu sebelum ini berdepan pergolakan dalaman apabila timbul isu pimpinannya menandatangani akuan bersumpah (SD) mendesak pengunduran Muhyiddin sebagai Presiden.

Pada 1 November lalu, terdedah sepucuk surat dari 16 ahli Parlimen yang diserahkan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.

Artikel Berkaitan:

Melalui surat bertarikh 23 Oktober lalu, mereka turut menegaskan pendirian bahawa Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayshal sebagai langkah tidak bijak.

Sementara itu, Syed Abu Fasal mengakui Hamzah memang mempunyai hasrat untuk menjatuhkan Muhyiddin daripada jawatan Presiden parti sejak sekian lama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Hamzah enggan melakukannya secara praktikal dengan melawan Muhyiddin secara terbuka, sebaliknya cuba memberi tekanan secara tidak langsung agar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengundur diri secara sukarela.

"Dia (Hamzah) hendak 'topple (jatuhkan)' Muhyiddin, tetapi dia tidak mahu lawan.

"Saya pernah tanya mengenai Muhyiddin, dia (Hamzah) kata Muhyiddin ada masalah dengan (institusi) Raja-Raja dan (kerajaan negeri) Sarawak. Jadi saya cakap biar saya jumpa Muhyiddin, minta dia letak jawatan (presiden).

"Tetapi dia (Hamzah) kata jangan. Jadi 'game' Hamzah ni, dia hendak (jatuhkan Muhyiddin) tetapi dia tidak mahu lawan. Dia cuma hendak 'pressure' supaya Muhyiddin turun.

"Tetapi akhirnya Muhyiddin tidak letak jawatan," katanya.

Di sebalik cita-cita peribadi Ahli Parlimen Larut itu, Syed Abu Fasal bersependapat dengan Suhaili bahawa Hamzah tidak pernah menjadi operator untuk mempengaruhi enam ahli Parlimen Bersatu termasuk dirinya mengalihkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

"(Dakwaan Pak Wan) Tidak betul langsung. Saya pernah jumpa Datuk Hamzah dan beritahu dia hasrat pertimbang keluar parti.

"Dia (Hamzah) sendiri kata jangan (keluar) dan beri alasan PN akan ambil alih kerajaan pada bulan Disember (tahun 2023). Tetapi terbukti sehingga kini benda itu tidak berlaku.

"Saya dan rakan-rakan tidak boleh tunggu kerana kami perlu duit peruntukan Parlimen untuk beri perkhidmatan kepada rakyat kawasan kami," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Dua ahli Parlimen Bersatu, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz menafikan dakwaan mereka dikerakkan oleh Timbalan Presiden parti untuk meninggalkan Bersatu
  • Mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan atas pengaruh Datuk Seri Hamzah Zainuddin
  • Pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, dituduh menyebarkan pembohongan tentang penglibatan Hamzah dalam peralihan sokongan ahli Parlimen
  • Syed Abu Fasal menyatakan Hamzah ingin menjatuhkan Muhyiddin Yassin dari Presiden parti secara tidak langsung tanpa konflik terbuka
  • Hamzah disebut tidak pernah menjadi operator dalam usaha enam ahli Parlimen Bersatu, termasuk Syed Abu Fasal dan Suhaili, untuk beralih sokongan ke Kerajaan Perpaduan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!