Penutupan Jalan Kenari diteruskan, siasatan punca lubang benam sedang dijalankan

GEORGE TOWN – Penutupan sementara Jalan Kenari di Sungai Ara masih berkuat kuasa susulan kejadian lubang benam yang dikesan pada petang Selasa sekali gus menjejaskan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, dalam perkembangan terbaharu, penghadang plastik telah dipasang sebagai langkah mitigasi awal manakala trafik dialihkan ke Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau dan Jalan Kedidi.
“Pihak utiliti iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sistem perpaipan di bawah seliaan masing-masing.
“Kerja-kerja siasatan dan pemantauan sedang giat diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan susulan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Zairil, penutupan jalan tersebut memberi kesan kepada pengguna dan beliau berharap orang ramai bersabar serta memberikan kerjasama kepada semua agensi terlibat demi keselamatan awam.
“Agensi-agensi terlibat sedang berusaha gigih menyelesaikan isu ini secepat mungkin demi keselamatan orang awam,” katanya lagi.
Terdahulu, Jalan Kenari di Sungai Ara, Bayan Lepas, ditutup sementara selepas berlaku kejadian lubang benam di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara, pada petang Selasa.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.40 petang itu melibatkan lubang bersaiz kira-kira 5 meter panjang, 3.5 meter lebar dan 1.9 meter dalam.
Tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Ringkasan AI
- Jalan Kenari di Sungai Ara, Bayan Lepas tutup sementara sebab lubang benam
- Penghadang plastik dipasang, trafik dialihkan ke Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau dan Jalan Kedidi
- PBAPP dan IWK menjalankan siasatan menyeluruh pada sistem perpaipan
- Siasatan dan pemantauan aktif untuk mengenal pasti punca dan tindakan susulan
- Tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan sepanjang kejadian lubang benam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

