Aliran air bawah tanah punca kejadian lubang benam di Sungai Ara

Zairil ketika meninjau lokasi lubang benam di Sungai Ara pada Khamis.
Zairil ketika meninjau lokasi lubang benam di Sungai Ara pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Aliran air bawah tanah dipercayai menjadi punca kejadian lubang benam yang berlaku di Jalan Kenari, Sungai Ara pada Selasa lalu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, hasil kerja-kerja pengorekan di tapak mendapati terdapat aliran air bawah tanah yang menyebabkan mendapan.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan perkara ini kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) untuk siasatan lanjut.

"Kerja-kerja pengorekan sedang diteruskan untuk mengenal pasti lokasi sebenar kebocoran paip.

"PBAPP juga akan menjalankan ujian-ujian berkaitan untuk mengesan punca kebocoran dengan lebih tepat," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan di lokasi kejadian pada Khamis.

Sementara itu, Zairil berkata, IWK akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan saliran paip di bawah seliaan mereka, tertakluk kepada kemajuan kerja-kerja oleh PBAPP.

Beliau berkata, untuk memastikan keselamatan orang ramai, Jalan Kenari telah ditutup sepenuhnya mulai dari persimpangan Jalan Dato' Ismail Hashim.

"Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau, atau Jalan Kedidi.

"Pihak berkuasa menyasarkan pembukaan semula Jalan Kenari pada 10 November depan, namun keselamatan awam kekal sebagai keutamaan utama dan tarikh ini tertakluk kepada sebarang perubahan berdasarkan keadaan di tapak," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan satu kejadian lubang benam dilaporkan berlaku di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, di sini pada petang Selasa.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.40 petang itu melibatkan lubang bersaiz kira-kira 5 meter panjang, 3.5 meter lebar dan 1.9 meter dalam.

Ringkasan AI

  • Aliran air bawah tanah dipercayai menjadi punca kejadian lubang benam di Jalan Kenari, Sungai Ara
  • Exco Infrastruktur telah mengesahkan terdapat aliran air bawah tanah yang menyebabkan mendapan
  • Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan kepada
  • PBAPP dan IWK untuk siasatan lanjut
  • Pekerjaan pengukuhan saliran paip akan dilaksanakan oleh IWK
  • Jalan Kenari ditutup sepenuhnya dan dijangka dibuka semula pada 10 November, tertakluk kepada keadaan di tapak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!