Lelaki menyamar polis, samun dan rogol wanita dalam hutan

BINTULU – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai polis, menyamun dan merogol seorang wanita di kawasan Hutan Simpan Similajau, di sini dalam kejadian yang berlaku pada 29 Oktober lalu.
Suspek berusia 50 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, kira-kira jam 2.30 petang Selasa di sebuah kawasan awam di Sibu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak lima hari lalu berjaya menjejaki dan seterusnya menahan suspek tersebut.
"Siasatan awal mendapati, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, suspek menyamar sebagai anggota polis dan memperdaya mangsa yang berusia 20 tahun dengan menawarkan bantuan kewangan.
"Suspek kemudian membawa mangsa ke lokasi kejadian lalu merampas telefon bimbit sebelum merogolnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/376 serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Nixon dalam pada itu menasihatkan orang awam, terutama golongan wanita, supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang memperkenalkan diri sebagai penjawat awam tanpa pengesahan yang sah.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditahan kerana menyamar sebagai polis dan merogol wanita di Hutan Simpan Similajau
- Suspek berusia 50 tahun ditangkap di Sibu
- Berjaya dikesan berdasarkan risikan selama lima hari
- Suspek didakwa merampas telefon dan merogol mangsa
- Kes disiasat mengikut Seksyen 392/376 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
