Mangsa tunggal nahas udara Air India dedah derita selepas terselamat

Ramesh, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa pada Jun lalu. Foto Agensi
Ramesh, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa pada Jun lalu. Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Vishwash Kumar Ramesh, 39, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa pada Jun lalu, akhirnya bersuara mengenai trauma dan perjuangannya untuk meneruskan hidup selepas tragedi itu.

Ramesh berada di dalam pesawat Boeing 787 Dreamliner yang terhempas di sebuah asrama hanya beberapa saat selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, India.

Dalam wawancara bersama akhbar The Telegraph United Kingdom, Ramesh mengakui dia masih dibelenggu mimpi ngeri dan kesakitan akibat tragedi yang turut mengorbankan abangnya sendiri.

“Tuhan memberi saya nyawa, tetapi mengambil segala kebahagiaan saya... keluarga saya musnah sepenuhnya,” katanya.

Selepas nahas itu, dia dilihat berjalan dalam keadaan berlumuran darah namun terselamat kerana duduk di barisan 11A — bahagian pesawat yang tidak meletup sewaktu impak.

Ramesh kini disahkan menghidap gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan mengalami kesakitan berterusan pada kaki, bahu, lutut serta belakang badan.

“Saya kehilangan abang saya. Kami sangat rapat. Kini saya tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Ibu bapa dan adik saya turut ‘runtuh’ dari segi mental dan emosi,” katanya dalam nada sebak.

Dia turut mendedahkan kesukarannya menjalani kehidupan seharian, termasuk menghantar anak lelakinya yang berusia empat tahun ke sekolah.

“Saya banyak menghabiskan masa bersendirian di bilik. Setiap hari saya berjuang untuk terus kuat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ramesh mendakwa pihak Air India hanya memberikan bayaran interim yang sama seperti keluarga mangsa yang maut, tanpa sebarang pampasan khas untuk dirinya sebagai satu-satunya yang terselamat.

Penasihatnya, Radd Seiger, menuduh syarikat penerbangan itu “bersembunyi di sebalik peguam” dan enggan memberi penjelasan lanjut mengenai tanggungjawabnya terhadap mangsa.

Kumpulan Tata, pemilik Air India, dilaporkan menawarkan pertemuan dengan Ramesh namun belum ada kata putus.

Siasatan awal pihak berkuasa India mendapati suis bahan api pesawat telah dialihkan ke mod 'cut off' selepas berlepas, menyebabkan kehilangan kuasa enjin dan pesawat terhenti di udara sebelum terhempas. Namun, punca muktamad masih belum diumumkan.

Ramesh menjadi tumpuan dunia selepas terselamat secara 'ajaib', malah menerima kunjungan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ketika dirawat di hospital tidak lama selepas kejadian. – Agensi

Ringkasan AI

  • Vishwash Kumar Ramesh merupakan satu-satunya yang terselamat dari nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa
  • Dia masih mengalami trauma dan kesakitan fisik selepas kejadian, termasuk PTSD
  • Ramesh kehilangan abangnya dalam nahas tersebut dan menghadapi kesukaran menjalani kehidupan seharian
  • Pihak Air India hanya memberikan bayaran interim tanpa pampasan khas untuknya sebagai mangsa terselamat
  • Siasatan awal menunjukkan pesawat kehilangan kuasa enjin akibat suis bahan api diputuskan, tapi punca muktamad belum diumumkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!