Yusuf Azmi mohon maaf, akui insiden gaduh hanya gimik

SHAH ALAM - Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi mengakui kesilapannya dalam membuat gimik keterlaluan ketika mempromosikan Kejohanan Warzone World Championship (WWC) beberapa hari yang lalu.
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum isu tercetus melibatkan insiden ketika sidang akhbar itu, sekali gus memohon maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Yusuf turut mengemukakan permohonan maaf terbabit kepada badan-badan Sanctioning serta ibu bapa, komuniti sukan dan masyarakat umum.
"Insiden 'face off' tersebut telah mencetuskan persepsi buli, lebih-lebih lagi ketika negara sedang sensitif dengan isu tersebut. Kami faham dan hormati kebimbangan rakyat.
"Aksi itu sebenarnya adalah gimik dirancang antara kedua-dua peserta bersama jurulatih bagi memberi sedikit 'spotlight'," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Aksi International Influencer Super Lightweight Champion WWC yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini menjadi tumpuan selepas beberapa klip video tular menunjukkan pertengkaran antara petarung Malaysia dan Indonesia.
Video itu dipercayai sebahagian daripada promosi acara dan menimbulkan kritikan dalam kalangan komuniti sukan tempur di negara ini.
Susulan itu, KBS memaklumkan bahawa Warzone World Championship (WWC) tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihaknya.
Mengulas lanjut Yusuf menjelaskan, sebagai atlet muda, adakalanya emosi dan keterujaan di pentas besar boleh menyebabkan hilang kawalan dan itu berlaku.
"Kami bertanggungjawab penuh atas kekurangan kawalan ketika sidang media tersebut. Tiada alasan. Kami akan perbaiki," ujarnya.
Beliau turut menyatakan komitmen mematuhi semua garis panduan dan syarat KBS termasuklah memperketat prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kawalan atlet bawah umur.
Menurutnya, pihak mereka juga sedia meningkatkan pendidikan, disiplin dan profesionalisme atlet muda, malah mengelakkan gimik provokasi melibatkan peserta bawah umur pada masa hadapan.
Jelas beliau, Warzone ditubuhkan untuk membina disiplin, keyakinan serta masa depan atlet bukan memudaratkan mereka.
Yusuf turut memohon ruang untuk memperbaiki dan bukannya dihukum tanpa peluang membuktikan komitmen mereka.
"Terima kasih kepada semua pihak yang menegur. Kami dengar, kami belajar, kami perbaiki," tambahnya lagi.
Sementara itu menerusi video yang dimuat naik, Yusuf turut berjanji tiada akan melakukan sebarang gimik atau konten yang melibatkan apanya unsur-unsur keganasan.
Beliau turut memohon maaf kerana dilihat seperti menggunakan kanak-kanak untuk mempromosikan program terbabit, namun menegaskan ia sekadar gimik semata-mata.
"Saya minta maaf kerana gimik itu terlalu ketelanjuran. Di sini, saya mohon maaf di atas insiden yang berlaku kepada kanak-kanak dan saya berjanji untuk belajar di sini bersama-sama dengan ahli pasukan saya dan kami sentiasa menerima teguran dengan terbuka," katanya.
Ringkasan AI
- Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi, memohon maaf atas insiden ketika sidang akhbar Warzone yang melibatkan dua peserta bawah umur
- Yusuf mengakui insiden tersebut mencetuskan persepsi buli serta memohon maaf kepada KBS, KPM, badan Sanctioning, ibu bapa, komuniti sukan dan masyarakat umum
- Aksi pertengkaran antara petarung Malaysia dan Indonesia pada International Influencer Super Lightweight Champion WWC, yang merupakan gimik promosi, telah menimbulkan kritikan
- KBS memaklumkan bahawa Warzone World Championship tidak mendapat kelulusan rasmi
- Yusuf berjanji untuk meningkatkan pendidikan, disiplin, profesionalisme atlet muda dan memperketat SOP keselamatan serta kawalan atlet bawah umur, menegaskan komitmen untuk memperbaiki dan mengelak gimik provokasi pada masa hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

