'Kami sentiasa doa lelaki itu terima pembalasan sewajarnya' - Keluarga Jahidah

Keadaan Jahidah yang masih sama dan tiada perubahan.
Keadaan Jahidah yang masih sama dan tiada perubahan.
A
A
A

SEREMBAN - “Kami sebenarnya harapkan keputusan lebih berat, tapi biarlah ALLAH balas semuanya.”

Demikian luah Fauziah Nordin, 44, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmaini Abdul Raof, 42, kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester, 47, sehingga koma empat tahun lalu.

Menurutnya, dia dan keluarga sentiasa berdoa supaya lelaki itu menerima pembalasan sewajarnya atas apa yang telah dilakukan.

“Kalau tengok kecederaan yang dihadapi kakak, sepatutnya lelaki itu dihukum lebih berat lagi, bukannya 10 tahun penjara saja.

“Dia bukannya pukul kakak sikit, tapi sehingga kakak tak boleh bangun, tak boleh bercakap, lumpuh sepenuhnya dah empat tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Malah, dia percaya ramai yang tidak berpuas hati dengan jumlah hukuman penjara tersebut yang disifatkan tidak setimpal dengan perbuatan zalim dilakukan Rosmaini.

Bagaimanapun, ujarnya, keluarga tidak mahu lagi mengambil tahu mengenai lelaki itu dan sudah memulakan kehidupan baharu.

“Keluarga pun dah gembira dengan hidup sekarang dan fokus kami tentunya pada Eshan Nufail (anak Jahidah) dan kakak.

“Kami memang tak mahu ambil tahu lagi apa yang terjadi pada lelaki itu selepas kali pertama mahkamah jatuhkan hukuman Disember lalu. Dia nak mati ke atau macam mana, terpulanglah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dia berharap apa yang terjadi ke atas Jahidah dapat dijadikan pengajaran oleh semua terutama golongan wanita.

Tambahnya, keluarga juga memainkan peranan penting untuk sentiasa cakna mengenai ahli keluarga masing-masing meskipun mereka sudah berkeluarga.

“Setiap daripada kita perlu ambil tahu ahli keluarga sendiri. Bukannya nak menyibuk hal rumah tangga orang, tapi takut terjadinya kes penganiayaan seperti yang berlaku pada kakak.

“Kalau pukul setakat lebam biasa saja tidak mengapa, tapi ini sehingga tak sedar diri.

“Lagipun kalau apa-apa yang jadi, keluarga juga yang akan tolong,” katanya.

Berkenaan keadaan Jahidah, Fauziah berkata, keadaannya tetap begitu, tiada apa-apa perubahan, manakala Nufail pula semakin lasak.

“Apa yang saya nak cakap, kau (Rosmaini) senyumlah, gelaklah sepuas hati kau di muka bumi ini.

“Tapi kenyataan tetap kenyataan yang tak boleh diubah, yang kau buat seseorang jadi cacat seumur hidup dan anak tak berdosa kau zalimi,” katanya.

Kes Jahidah pernah menggemparkan negara kerana wanita itu dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.

Jahidah yang merupakan bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini.

Jahidah selamat melahirkan anaknya secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kini disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU).

Pada 15 Mac 2024, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan oleh keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.

Ringkasan AI

  • Keluarga harapkan hukuman yang lebih berat bagi Rosmaini yang menyebabkan bekas isterinya, Jahidah, lumpuh dan koma
  • Jahidah koma selama empat tahun akibat kecederaan parah yang disebabkan oleh Rosmaini
  • Keluarga Jahidah kini memfokuskan perhatian kepada Jahidah dan anaknya, Eshan Nufail, dan tidak lagi mahu tahu tentang Rosmaini
  • Fauziah berharap kisah Jahidah dijadikan pengajaran, terutama bagi golongan wanita dan menekankan peranan keluarga dalam mengawasi anggota keluarganya
  • Jahidah selamat melahirkan anaknya yang kini disahkan berstatus orang kurang upaya (OKU) setelah dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!