Perjanjian ART tidak bercanggah peruntukan Perlembagaan - PM

Anwar ketika sesi PMQT di Dewan Rakyat pada Selasa. - Bernama
Anwar ketika sesi PMQT di Dewan Rakyat pada Selasa. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak mengandungi sebarang peruntukan bercanggah dengan semangat atau peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai kedudukan penting dalam setiap perjanjian negara termasuk ART bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang Malaysia.

"Keputusan perbincangan dalam Jemaah Menteri kemudiannya diubah suai setelah mendapat input daripada AGC, bahkan dalam (keputusan) yang akhir sekali pun ulasan Peguam Negara diperlukan.

"Ya kepala (ketua) rundingan itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tetapi bila bincang soal halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masuk, (bila) bincang soal import, Kementerian Pertanian masuk.

"Namun keseluruhan skop undang-undangnya (ada) AGC yang bincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikan bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada perjanjian timbal balas itu mendapat ulasan daripada AGC atau sebaliknya.

Sebagai rekod, Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.

Perjanjian tersebut merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa perjanjian yang ditandatangani bukan sahaja mempertahankan kepentingan bumiputera, malah sebarang tindakan penguatkuasaan tidak membelakangkan undang-undang domestik di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak sebut di sini satu peruntukan sahaja yang sangat penting, Seksyen 5, Economic and National Security. Peguam Negara bagi penjelasan, peruntukan ini komprehensif yang mengikat semua peruntukan lain.

"Ada berkaitan keselamatan negara, jadi kita ada pertimbangan keselamatan negara. Sekiranya ia menjejaskan keselamatan negara, maka kita tidak boleh menerima perkara ini, ia juga berpandukan kepada prinsip saling percaya dan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan bilateral," jelasnya.

Ringkasan AI

  • Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia
  • Jabatan Peguam Negara memainkan peranan penting dalam memastikan perjanjian tersebut selaras dengan undang-undang Malaysia
  • Perbincangan perjanjian melibatkan input dan penilaian dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pertanian bagi aspek tertentu
  • Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
  • Perjanjian ini mempertahankan kepentingan bumiputera dan tidak membelakangkan undang-undang domestik Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!