Bangsal lemang 30 tahun diganti baharu, elak dinaiki air ketika banjir

KEMAMAN - Bangsal kayu berusia hampir 30 tahun yang menempatkan kira-kira 16 peniaga lemang di Wilayah Lemang Kijal, di sini bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan gerai jualan baharu yang lebih moden dan selesa serta mengelak dinaiki air ketika musim banjir.
Projek pembinaan gerai tersebut kini giat dijalankan dan dijangka siap hujung tahun ini sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari depan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah menaik taraf kawasan berkenaan dilakukan bagi memastikan keselamatan peniaga dan pembeli memandangkan lokasi bangsal sedia ada terlalu hampir dengan jalan utama.
"Kita bina gerai baharu ini untuk keselamatan peniaga dan pembeli kerana gerai lama terlalu dekat dengan jalan raya dan berisiko berlaku kemalangan.
"Gerai baharu ini dibina di belakang bangsal lama, lebih selamat, moden dan memberi keselesaan kepada semua," katanya ketika meninjau kerja-kerja pembinaan gerai jualan lemang di Kijal, di sini baru-baru ini.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, selepas siap fasa pembinaan gerai jualan, beberapa fasiliti tambahan termasuk kawasan parkir akan turut dibangunkan.
"Gerai jualan lemang di sini beroperasi sepanjang tahun, bukan hanya musim perayaan. Kita mahu menjadikan lemang sebagai produk tarikan pelancong ke Kijal dengan menyediakan lokasi yang bersih dan selesa," katanya.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Persatuan Peniaga Lemang Kijal, Khazalina Khalid berkata, semua peniaga bersetuju berpindah ke gerai baharu demi keselesaan dan keselamatan.
"Kawasan gerai jualan ini sering dilanda banjir kilat jika hujan terlalu lebat pada musim tengkujuh disebabkan limpahan air bukit di seberang jalan berhadapan dengan gerai kami. Pernah juga pada musim tengkujuh, air mencecah paras lutut.
"Kalau kami berpindah ke gerai baru, masalah banjir kilat dapat di atasi kerana gerai itu lebih tinggi berbanding yang lama," katanya.
Ringkasan AI
- Bangsal kayu berusia hampir 30 tahun di Wilayah Lemang Kijal akan dirobohkan untuk pembinaan gerai baru yang lebih moden dan selesa
- Projek pembinaan gerai baharu dijangka siap hujung tahun ini dan akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari depan
- Langkah menaik taraf dilakukan untuk keselamatan peniaga dan pembeli kerana lokasi bangsal lama terlalu hampir dengan jalan utama
- Gerai baru dibina lebih selamat dan moden di belakang bangsal lama, dengan penambahan beberapa fasiliti termasuk kawasan parkir
- Peniaga bersetuju berpindah ke gerai baru untuk mengelakkan masalah banjir kilat yang sering berlaku di lokasi lama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
