Tinggal barang jualan untuk solat berjemaah - Peniaga mainan yakin rezeki dijaga ALLAH

Mohd Aminuddin menunjukkan barangan mainan jualannya. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Aminuddin menunjukkan barangan mainan jualannya. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun berniaga secara kecilan-kecilan di tepi jalan, bapa tiga anak ini tidak pernah mengabaikan solat berjemaah, malah tak pernah bimbang untuk meninggalkan barang jualannya begitu sahaja demi memenuhi seruan azan.

Bagi Mohd Aminuddin Yaacub, 36, rezeki bukanlah sekadar hasil usaha semata-mata, tetapi juga datang daripada kejujuran dan keyakinan kepada ALLAH.

“Ada pelanggan datang beritahu nak datang membeli mainan tetapi saya tak ada, sebabnya saya tinggal sekejap pergi solat.

“Kadang-kadang mereka pelik sebab saya tinggal barang begitu saja, tapi tak pernah hilang pun, Insya-ALLAH, ALLAH jaga rezeki saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Aminuddin berniaga hingga waktu malam untuk mencari rezeki. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Aminuddin berniaga hingga waktu malam untuk mencari rezeki. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Mohd Aminuddin berniaga di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa dengan mengatur barisan mainan kanak-kanak di atas tikar kecil.

Di situ, dia mencari rezeki untuk menampung isteri dan tiga anaknya yang masing-masing berusia 11, 7 dan 3 tahun.

Setiap kali azan berkumandang, Mohd Aminuddin segera meninggalkan tapak jualan untuk ke Masjid Assalam, Pengkalan Chepa, kira-kira 400 meter dari tempatnya berniaga.

Artikel Berkaitan:

Motosikal yang dipinjam dari adinya untuk berniaga dan mencari kotak. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Motosikal yang dipinjam dari adinya untuk berniaga dan mencari kotak. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

“Ada saja yang sanggup menunggu hingga dia datang semula selepas selesai sembahyang atau datang semula apabila tengok saya ada di tempat berniaga,” ujarnya.

Dia berniaga dari waktu petang hingga lewat malam, biasanya hingga jam 10 atau 12 malam tanpa menghiraukan keadaan cuaca panas atau hujan.

“Demam atau batuk pun kena berniaga sebab nak cari rezeki besarkan anak-anak.

“Saya juga mencari kotak-kotak untuk dijual semula untuk dapatkan duit dan kalau sakit teruk tak dapat kerja terpaksa kena pinjam duit dengan adik,” katanya.

Dia menggunakan motosikal roda tiga yang dipinjam daripada adik lelakinya untuk membawa mainan dan mencari kotak terpakai di sekitar Kota Bharu.

Kotak-kotak yang diperoleh disusun Mohd Aminuddin dalam ruangan barangan motosikal roda tiga. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Kotak-kotak yang diperoleh disusun Mohd Aminuddin dalam ruangan barangan motosikal roda tiga. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Dua tahun lepas, dia bekerja sebagai pembantu jual ikan di Pasar Siti Khadijah bersama adiknya namun, selepas pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, perniagaan mereka merosot dan dia beralih kepada menjual mainan kecil-kecilan di tepi jalan.

Mainan yang dijual berharga antara RM3 hingga RM30 sahaja dengan sebahagiannya baharu manakala sebahagiannya lagi terpakai.

“Kadang pelanggan bayar lebih daripada harga sebenar.

“Saya sangat hargai sedekah mereka untuk bantu saya,” katanya.

Anak-anaknya mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan di sekolah yang sedikit sebanyak meringankan beban.

 

Ringkasan AI

  • Mohd Aminuddin Yaacub tidak pernah mengabaikan solat berjemaah walaupun berniaga kecilan di tepi jalan
  • Rezeki datang dari kejujuran dan keyakinan kepada ALLAH menurutnya
  • Setiap kali azan berkumandang, dia meninggalkan tapak jualannya untuk solat di Masjid Assalam Pengkalan Chepa
  • Dia mencari rezeki untuk menampung hidup isteri dan tiga anaknya dengan berniaga mainan kanak-kanak
  • Selepas pandemik Covid-19, beralih kepada menjual mainan dari bekerja sebagai pembantu jual ikan di Pasar Siti Khadijah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!