McCormick henti operasi ladang lada hitam di Lembah Bidong

Azman
Azman
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Syarikat McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd memutuskan untuk menamatkan operasinya di Terengganu dan Malaysia secara berperingkat bermula 31 Januari hingga 30 Jun 2027.

​Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima kunjungan pengurusan tertinggi McCormick termasuk salah seorang pengarahnya, Ross Grier pada Isnin.

​Menurutnya, langkah berkenaan merupakan keputusan komersial yang dibuat oleh ibu pejabat McCormick di Amerika Syarikat susulan penggabungan syarikat itu bersama Unilever Food.

​"Ini keputusan ibu pejabat McCormick di Amerika Syarikat, bukan keputusan di Malaysia dan juga bukan keputusan di Terengganu.

​"Mereka menetapkan semula hala tuju perniagaan untuk tidak lagi terlibat dalam sektor perladangan, sebaliknya kembali kepada perniagaan teras mereka dalam industri pemprosesan," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.

​Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azmi Maarof (Pas-Langkap) yang ingin mengetahui jumlah pekerja tempatan khususnya anak Terengganu di Setiu yang diambil bekerja apabila projek lađang lađa hitam tersebut beroperasi.

​Mengulas nasib pekerja terbabit, Azman berkata, proses penamatan secara berperingkat selama enam bulan itu akan melibatkan bayaran pampasan antara dua hingga empat bulan gaji mengikut hak pekerja.

​Beliau turut memaklumkan pihak McCormick dalam pertemuan itu berkali-kali memohon maaf serta menegaskan keputusan berkenaan tidak berpunca daripada sebarang faktor melibatkan kerajaan negeri.

​"Malah, mereka tidak menyangka kerajaan negeri telah memberikan kolaborasi dan kerjasama yang begitu baik atas sifat kita sebagai tuan tanah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

​Mengenai hala tuju seterusnya, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) selaku tuan tanah bersama Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan meneliti terma perjanjian sedia ada yang turut memperuntukkan klausa pemberhentian secara persetujuan bersama (mutual termination).

​Katanya, fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan industri lada hitam yang sudah bertapak di Lembah Bidong dapat diteruskan menerusi pengambilalihan oleh pihak lain.

​"Alhamdulillah, ada khabar positif apabila terdapat pelabur berpotensi yang sudah hadir melawat tapak dan mengadakan perbincangan.

​"Pelabur yang kita kenal pasti ini mempunyai kemampuan kewangan serta keupayaan lain dan mereka menyatakan minat mendalam untuk mengambil alih serta meneruskan kesinambungan projek lada hitam ini," jelasnya.

​Tambah Azman, McCormick dalam pertemuan itu turut menyatakan kesediaan untuk terus membeli hasil lada hitam yang dikeluarkan dari ladang berkenaan.

​"Maknanya mereka hanya memperlahankan penglibatan dalam sektor perladangan, tetapi tetap meneruskan langkah dalam industri pemprosesan produk berasaskan lada hitam," katanya.

​Sebelum ini, pada Januari lalu, Terengganu dilaporkan mencipta sejarah di peringkat global apabila Lembah Bidong dipilih sebagai lokasi ladang lada hitam pertama di dunia milik McCormick Global Ingredients Malaysia.

​Projek berskala mega membabitkan nilai pelaburan mencecah RM360 juta itu merangkumi kawasan ladang seluas 600 hektar serta pembinaan kilang pemprosesan berteknologi tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!