Beruang matahari jantan 70kg 'lepak' di bawah rumah penduduk

Seekor beruang matahari jantan seberat kira-kira 70kg ditemukan di bawah sebuah rumah penduduk. Foto Perhilitan
Seekor beruang matahari jantan seberat kira-kira 70kg ditemukan di bawah sebuah rumah penduduk. Foto Perhilitan
A
A
A

DUNGUN - Seekor beruang matahari jantan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) ditangkap selepas ditemukan berkeliaran sebelum berlindung serta tidur di bawah sebuah rumah penduduk ketika hujan di Kampung Rantau Abang di sini malam Isnin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk berhubung kehadiran haiwan liar itu pada 8.30 malam.

Beliau berkata, enam anggota Pejabat Perhilitan Dungun digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sebelum mendapati beruang tersebut masih berada di bawah rumah dalam keadaan sedang tidur.

"Operasi menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan kemudian dijalankan sebelum pemeriksaan mendapati beruang itu tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan fizikal yang sihat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, beruang matahari jantan itu merupakan haiwan dewasa dengan anggaran panjang keseluruhan 130 sentimeter.

"Selepas berjaya ditangkap dan diperiksa, haiwan tersebut dilepaskan semula ke habitat hutan," katanya sambil menambah lokasi kejadian terletak kira-kira dua kilometer dari Hutan Simpan (HS) Jambu Bongkok di sini.

Teh berkata, operasi berakhir pada 4.30 pagi tadi selepas proses translokasi selesai dilaksanakan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!