'Komuniti berdepan risiko keselamatan'

Kes rakyat Malaysia yang maut kerana ditembak 18 das tembakan dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu mencerminkan risiko dan cabaran keselamatan yang perlu dihadapi komuniti sempadan. Gambar kecil: Zalmizy
Kes rakyat Malaysia yang maut kerana ditembak 18 das tembakan dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu mencerminkan risiko dan cabaran keselamatan yang perlu dihadapi komuniti sempadan. Gambar kecil: Zalmizy
A
A
A

SHAH ALAM - Kes rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut kerana ditembak 18 das tembakan dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu mencerminkan risiko dan cabaran keselamatan yang perlu dihadapi komuniti sempadan.

Pakar Kriminologi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin berkata, realitinya sempadan Malaysia-Thailand merupakan kawasan panas bagi pelbagai bentuk jenayah rentas negara, terutama melibatkan penyeludupan senjata api, dadah dan manusia.

Menurutnya, statistik bagi separuh pertama tahun 2025 menunjukkan ribuan tangkapan dan rampasan membabitkan aktiviti penyeludupan telah dilakukan di sempadan berkenaan, jelas menggambarkan jaringan jenayah di kawasan terbabit yang aktif.

“Apa yang membimbangkan, kemudahan akses kepada senjata api haram boleh mengubah landskap keselamatan.

“Jika senjata ini mudah didapati oleh mereka yang ingin menyelesaikan konflik peribadi atau kumpulan secara ganas, budaya penyelesaian melalui keganasan mudah berakar umbi.

“Situasi ini tidak hanya berlaku pada kes berprofil tinggi, malah boleh merebak kepada insiden kecil seperti pergaduhan biasa, urusan hutang atau ketegangan komuniti, sekali gus menaikkan kadar jenayah bersenjata dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zalmizy berkata, kejadian seumpama itu menuntut tindakan segera dan tegas daripada pihak berkuasa, termasuk peningkatan rondaan, pengawasan sempadan yang lebih ketat serta kerjasama serantau yang kukuh untuk memastikan senjata api tidak terus meresap ke dalam masyarakat dan mengancam keamanan komuniti sempadan.

“Komuniti sempadan yang sepatutnya menjadi ruang yang aman dan stabil secara tiba-tiba berubah menjadi kawasan yang berisiko tinggi, di mana individu dan keluarga hidup dalam ketakutan dan kebimbangan berterusan.

“Ketakutan ini bukan sahaja mengurangkan kualiti hidup tetapi juga menjejaskan aktiviti ekonomi serta sosial,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak berkuasa perlu menitikberatkan indikator awal seperti peningkatan laporan konflik bersenjata kecil, kes penemuan senjata api secara tidak sah dan kehadiran kumpulan-kumpulan baharu yang cuba berpengaruh di sempadan.

Tegas beliau lagi, ia juga menuntut pemantauan rapi, kerjasama rentas sempadan dan peningkatan kecanggihan teknologi pemantauan di pos serta laluan tidak rasmi.

“Selain tindakan penguatkuasaan, pendekatan komuniti amat penting untuk mengawal dan mengurangkan risiko ini.

“Penglibatan aktif masyarakat setempat dalam melaporkan aktiviti mencurigakan serta sokongan terhadap program pencegahan jenayah mampu menjadi benteng pertama dalam memastikan keselamatan kawasan sempadan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kes rakyat Malaysia yang maut ditembak di Thailand menunjukkan risiko keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand
  • Sempadan Malaysia-Thailand merupakan kawasan panas jenayah rentas negara termasuk penyeludupan senjata, dadah, dan manusia
  • Kemudahan akses kepada senjata api haram boleh meningkatkan jenayah bersenjata
  • Kejadian ganas menuntut tindakan segera pihak berkuasa termasuk peningkatan pengawasan sempadan
  • Penglibatan komuniti penting dalam mengawal risiko jenayah di kawasan sempadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!