KPM mahu siasatan menyeluruh, keadilan buat Iman Zhafran

KPM minta supaya segala elemen berhubung kematian murid Tahun Empat dari sebuah sekolah di Negeri Sembilan, Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin pada awal bulan lalu disiasat secara menyeluruh.
KPM minta supaya segala elemen berhubung kematian murid Tahun Empat dari sebuah sekolah di Negeri Sembilan, Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin pada awal bulan lalu disiasat secara menyeluruh.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta supaya segala elemen berhubung kematian murid Tahun Empat dari sebuah sekolah di Negeri Sembilan, Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin pada awal bulan lalu disiasat secara menyeluruh.

KPM dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap kenyataan keluarga arwah selepas media melaporkan perkara tersebut.

“Justeru, KPM meminta supaya semua elemen berkaitan kejadian ini disiasat secara menyeluruh. Pada waktu ini, kes masih berada dalam siasatan pihak polis.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah. Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham Iman Zhafran,” katanya pada Isnin.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa bapa kepada Allahyarham, yang ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah di Senawang pada 1 Oktober lalu, mendakwa anaknya pernah menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian tragis itu berlaku.

Menurut bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, arwah anaknya, Iman Zhafran, 10, sempat memberitahu kakaknya tentang ugutan tersebut memandangkan kedua-duanya tidur sebilik.

Bagaimanapun, kata beliau, dia hanya mengetahui perkara itu ketika dirinya dan kakak arwah disoal siasat polis sehari selepas insiden.

Tambah Muhammad Hafizuddin, pihak polis juga menemui nota tulisan tangan dalam buku milik arwah yang dipercayai mengandungi mesej berbaur ugutan.

Sebelum ini, hasil bedah siasat awal melaporkan punca kematian disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.

Artikel Berkaitan:

Peguam mewakili keluarga, Muhammad Yazid Mohamad Salim dari firma Tetuan Yazid Tishondra, turut meminta supaya pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.

Jelas beliau, desakan itu dibuat selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi daripada pihak polis, pendakwa raya mahupun KPM.

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Malaysia meminta siasatan menyeluruh terhadap kematian murid Tahun Empat di Negeri Sembilan
  • Kes masih dalam siasatan polis dan tindakan tegas perlu diambil untuk keadilan keluarga
  • Bapa mangsa mendakwa anaknya menerima ugutan mati sebelum ditemukan meninggal
  • Polis menemui nota tulisan tangan dengan mesej ugutan dalam buku milik arwah
  • Peguam keluarga desak inkues dibuka untuk menentukan punca sebenar kematian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!