Pendekatan fleksibel untuk hari tua

Cadangan Bank Dunia menaikkan umur pengeluaran penuh KWSP kepada 65 tahun mencetus perdebatan antara hak individu dan keperluan dasar negara menghadapi penuaan penduduk. - Gambar hiasan
Cadangan Bank Dunia menaikkan umur pengeluaran penuh KWSP kepada 65 tahun mencetus perdebatan antara hak individu dan keperluan dasar negara menghadapi penuaan penduduk. - Gambar hiasan
A
A
A

CADANGAN Bank Dunia menaikkan had umur pengeluaran penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sekurang-kurangnya 65 tahun terus menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat.

Bagi kebanyakan pencarum, wang KWSP dianggap hasil titik peluh bertahun-tahun bekerja yang seharusnya dapat dinikmati apabila tiba masa persaraan.

Justeru, cadangan menaikkan had umur kepada akses simpanan itu dilihat seperti menafikan hak mereka terhadap hasil kerja sendiri.

Namun, dari sudut dasar dan demografi, Bank Dunia berpandangan bahawa struktur semasa mungkin tidak lagi sesuai.

Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang tahun 2048 apabila 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas.

Bagaimana pun laporan Bank Dunia pada Oktober 2025 pula mengunjurkan angka sama akan dicapai lebih awal iaitu sekitar tahun 2045 dan meningkat kepada 20 peratus menjelang tahun 2056.

Sehubungan itu, Bank Dunia menegaskan bahawa akses kepada simpanan persaraan pada usia 55 tahun dianggap terlalu awal dan boleh meningkatkan risiko kehabisan simpanan dalam tempoh persaraan terutama apabila rakyat kini hidup lebih lama dengan purata jangka hayat mencecah 75 tahun.

Menariknya, walaupun ramai tidak bersetuju, terdapat juga pihak yang melihat cadangan ini sebagai langkah ke hadapan.

Selari dengan realiti bahawa ramai warga emas kini kekal aktif dalam pasaran kerja, data DOSM menyaksikan jumlah pekerja berumur 60 hingga 64 tahun meningkat daripada 379,000 pada 2014 kepada 466,000 pada 2024.

Artikel Berkaitan:

Ini sekali gus menunjukkan bahawa umur bekerja kini semakin panjang dan rakyat masih mampu menyumbang kepada ekonomi walaupun selepas usia 60 tahun.

Walau bagaimanapun, jika cadangan menaikkan umur pengeluaran penuh KWSP sukar diterima rakyat pendekatan lebih fleksibel mungkin boleh dipertimbangkan.

Antara langkah yang munasabah, menukar pengeluaran kepada bentuk bayaran bulanan seperti gaji bagi memastikan pesara mempunyai aliran pendapatan berterusan serta mengelak simpanan dihabiskan terlalu awal.

Model seumpama ini bukanlah perkara baharu, buktinya negara seperti Singapura dan Australia telah lama mengamalkan skim pencen berasaskan bayaran berkala bagi menjamin kesejahteraan hidup jangka panjang.

Namun dalam konteks Malaysia, cabaran sebenar adalah memastikan rakyat bersedia dari segi kewangan dan sosial untuk menghadapi usia tua.

Menurut Kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), sebanyak 67.9 peratus pesara kembali bekerja kerana keperluan kewangan membuktikan bahawa isu pendapatan selepas bersara perlu diberi perhatian serius.

Oleh itu, dasar perlindungan sosial serta pasaran kerja mesra warga emas perlu digerakkan seiring. Ini termasuk peluang kerja fleksibel, latihan semula, peningkatan kemahiran serta insentif kepada majikan yang mengekalkan atau mengambil pekerja berusia.

Pada masa sama, dasar anti-diskriminasi umur juga perlu dikuatkuasakan bagi mewujudkan pasaran kerja yang inklusif dan berdaya tahan.

Akhirnya, saranan meningkatkan had umur pengeluaran KWSP kepada 65 tahun mungkin kelihatan sukar diterima pada masa ini, namun siapa tahu, dengan pelaksanaan secara berperingkat serta disokong dasar yang menyeluruh dan sensitif terhadap keperluan rakyat, ia mungkin boleh menjadi peluang memperkukuh sistem persaraan negara.

Langkah sebegini, jika dirancang dengan teliti, bukan bertujuan menyekat hak pencarum tetapi memastikan setiap ringgit hasil titik peluh mereka benar-benar memberi jaminan hidup selepas bersara.

Dalam jangka panjang, usaha ini juga boleh membantu membina masyarakat yang lebih bersedia menghadapi penuaan di samping menggalakkan budaya kerja aktif, celik kewangan dan perancangan masa depan lebih mampan.

* Liza Mokhtar ialah wartawan Meja Bisnes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!