Majoriti pembaca Sinar Harian tolak cadangan pengeluaran KWSP bermula 65 tahun

SHAH ALAM - Majoriti besar pembaca Sinar Harian menolak cadangan Bank Dunia supaya Malaysia menaikkan had usia pengeluaran penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sekurang-kurangnya 65 tahun bagi menyesuaikan dasar persaraan dengan peningkatan jangka hayat sihat rakyat negara ini.
Daripada 1,876 undi yang direkodkan di keempat-empat platform media sosial rasmi Sinar Harian iaitu Facebook, X, YouTube dan Instagram, sebanyak 89.5 peratus atau 1,679 undi memilih tidak bersetuju manakala hanya 10.5 peratus atau 197 undi menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut.

Undian yang dijalankan selama 18 jam berakhir jam 2 petang Jumaat itu memperlihatkan keputusan berbeza di setiap platform, namun majoritinya memilih untuk mengekalkan pengeluaran kekal pada usia 55 tahun.
Di Instagram, sebanyak 1,270 undian direkodkan dengan 97 peratus menolak cadangan berkenaan dan hanya tiga peratus menyatakan persetujuan.
Platform X (Twitter) pula mencatat 48 responden, dengan 92 peratus memilih tidak bersetuju dan lhanya lapan peratus menyokong saranan berkenaan.
Keputusan di Facebook juga jelas memperlihatkan penolakan apabila 87 peratus daripada 49 undi tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, manakala hanya 12 peratus bersetuju.
Tinjauan di YouTube pula menyaksikan seramai 500 responden mengambil bahagian dengan 82 peratus memilih tidak bersetuju dan 18 peratus menyokong.
Secara keseluruhan, dapatan memperlihatkan majoriti pembaca Sinar Harian menolak cadangan tersebut, meskipun terdapat sedikit perbezaan peratusan antara platform.
Sebelum ini, Bank Dunia mencadangkan supaya Malaysia menaikkan had usia pengeluaran penuh KWSP kepada sekurang-kurangnya 65 tahun bagi menyesuaikan dasar persaraan dengan peningkatan jangka hayat sihat rakyat negara ini.

Cadangan itu terkandung dalam laporan baharu bertajuk “Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options” yang diterbitkan pada Oktober 2025.
Menurut laporan tersebut, Malaysia sedang menuju ke arah menjadi masyarakat menua apabila 14 peratus penduduk dijangka berumur 65 tahun ke atas menjelang 2045 dan jumlah berkenaan meningkat kepada 20 peratus menjelang 2056.
Namun, Bank Dunia menegaskan akses kepada simpanan persaraan pada usia 55 tahun dianggap terlalu rendah berbanding struktur demografi Malaysia sekali gus meningkatkan risiko kehabisan simpanan lebih awal dalam tempoh persaraan.
Ringkasan AI
- Majoriti besar pembaca Sinar Harian menolak cadangan Bank Dunia untuk menaikkan had usia pengeluaran penuh KWSP kepada sekurang-kurangnya 65 tahun
- Daripada 1,876 undi yang direkodkan di media sosial, 89.5 peratus memilih tidak bersetuju dengan cadangan tersebut
- Di Instagram, 97 peratus dari 1,270 undian menolak cadangan berkenaan
- Di platform X , 92 peratus dari 48 responden tidak bersetuju dengan cadangan tersebut
- Bank Dunia mencadangkan kenaikan had usia pengeluaran KWSP tersebut untuk menyesuaikan dengan peningkatan jangka hayat sihat rakyat Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

