Elak beratur panjang di bank, ATM

Orang ramai beratur dan menjarakkan satu meter di antara satu sama lain semasa menggunakan khidmat Maybank di Jalan Putra, Alor Setar pagi tadi. Turut kelihatan Mahfuz (empat dari kiri).
Orang ramai beratur dan menjarakkan satu meter di antara satu sama lain semasa menggunakan khidmat Maybank di Jalan Putra, Alor Setar pagi tadi. Turut kelihatan Mahfuz (empat dari kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan untuk merancang mengeluarkan wang di bank bagi mengelakkan mereka beratur panjang selain mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pasukan pemantau akan berada di semua zon yang telah ditetapkan dan akan digerakkan jika keadaan memerlukan khidmat mereka bagi memastikan masyarakat terhindar daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, sekiranya terdapat ramai pengguna berbaris di bank ataupun di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), polis dan tentera akan digerakkan untuk membantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kebanyakan kakitangan akan menerima gaji pada hari ini dan dalam operasi Covid-19 ini, saya nasihatkan warga Kota Setar dan Pokok Sena supaya merancang masa untuk mengeluarkan duit.

"Tidak mahu lihat berbaris di ATM ataupun bank untuk mengeluarkan perbelanjaan. Marilah sama-sama bantu menjayakan PKP yang telah dilaksanakan pada hari kelapan hari ni," katanya kepada media ketika pemantauan di pasar tani, pasar raya dan bank sekitar kawasan Pokok Sena di sini hari ini.


Mohd Rozi Jidin
Mohd Rozi Jidin

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke beberapa bank di Bandaraya Alor Setar pagi tadi mendapati keadaan terkawal dan terdapat anggota Rela yang mengawal keadaan.

Pita pelekat juga diletakkan di atas lantai bagi jarak 1 meter untuk memastikan pengguna mempunyai jarak di antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui di Maybank Jalan Putra, Alor Setar yang turut beratur mahu menggunakan khidmat ATM berkata, beliau memuji usaha pihak berkuasa dalam mengawal keadaan bagi memerangi wabak Covid-19.

"Kawalan di bank nampak teratur kerana mereka mampu menentukan jarak pelanggan di antara satu sama lain. Adanya kawalan pergerakan oleh pihak bank," katanya.