Pengguna TBS bersesak, beratur panjang gagal dapat pas masuk

Perkongsian video daripada pengguna TikTok
Perkongsian video daripada pengguna TikTok
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai terutamanya pengguna perkhidmatan bas terpaksa bersesak dan beratur panjang sejak jam sembilan pagi demi mengambil pas masuk bagi pembelian tiket secara dalam talian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Menerusi perkongsian pengguna di TikTok, beberapa penumpang tertinggal bas mereka kerana gagal mendapatkan pas masuk berkenaan meskipun tiket sudah dibeli.

Salah seorang pengguna TikTok, @iaizwani berkata, banyak kaunter TBS yang tidak dibuka meskipun pada musim perayaan antara punca yang menyebabkan situasi sesak di bangunan itu berlaku.

“Sudahnya ramai terlepas bas. Kaunter tak banyak pun buka dah tahu musim perayaan,” katanya pada Isnin.

Sementara itu, pengguna TikTok, @perjuangchinta berkata, dia telah beratur berjam bagi mendapatkan pas masuk namun gagal sehingga terlepas menaiki bas.

“Alih-alih bas terlepas, dugaan 1 Mei 2023. Nak beratur pergi khidmat pelanggan pun tak larat.

“Si kecil dah mengamuk (kerana) panas, sesak orang ramai,” ulasnya.

Dalam pada itu, pengguna TikTok, @khairulahzam78x berkata, TBS sepatutnya perlu menaik taraf sistem dalam talian mereka bagi mengelakkan masalah seperti ini berlaku terutamanya pada musim perayaan.

“Kepada TBS mohon naik taraf sistem, tak pasal-pasal ramai yang tertinggal bas walaupun tiket dah beli,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut salah seorang pengguna TikTok, @zyxuhjb, orang ramai yang telah membeli tiket dari aplikasi TBS sudah tidak perlu cetak pas masuk, sebaliknya boleh terus imbas kod yang diberikan di pintu gerbang berlepas.

“Kalau beli tiket dari aplikasi TBS, tak perlu cetak dekat kaunter boleh terus imbas masuk pintu gerbang berlepas,” menurutnya.

Selain itu, pengguna TikTok, @zamzamin91 pula berkata, membeli tiket secara dalam talian di laman TBS e-tiketing juga dapat memudahkan pengguna bas daripada beratur panjang kerana telah disediakan fungsi imbas QR Code dalam sistem tersebut.

“Beli dalam talian di laman TBS e-tiketing senang, dapat QR code terus dekat situ. Dekat ‘reprint history’ (cetak semula sejarah), tangkap layar sahaja sudah boleh guna,” jelasnya.